Sabtu, 17 November 2018 | 12:39pm
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Nama Rafizi ada dibangkitkan tetapi… - Anwar

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan nama bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ada dibangkitkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau

.

Ketua Umum PKR itu berkata, siapa calon yang akan bertanding pada PRK terbabit bagaimanapun masih di peringkat perbincangan.

“Ya, ada nama Rafizi dibangkitkan (sebagai calon) tetapi saya merasakan beliau lebih layak daripada itu (untuk hanya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perasmian Kongres Nasional PKR Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada PKR akan meletakkan calon baharu pada PRK DUN Rantau, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak menolak kemungkinan itu.

“Ya, ada kemungkinan meletakkan calon baharu. Buat masa ini tiada sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Anwar berkata, proses memilih calon untuk bertanding mana-mana pilihan raya membabitkan pelbagai peringkat proses yang perlu dipatuhi.

“Saya ingin menjelas proses untuk mencalonkan mana-mana individu bermula di peringkat cabang, kemudian dari peringkat negeri, Biro Politik dan akhir sekali Presiden parti pada masa itu.

“Buat masa ini, saya tidak mengambil apa-apa sikap, kita kena tanya dulu, buat kajian, itu proses yang selalu kita lakukan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Seremban, sebelum ini, memutuskan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan tanpa bertanding di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar turut memutuskan satu PRK perlu diadakan bagi DUN itu serta-merta.

2469 dibaca
Berita Harian X