Jumaat, 16 November 2018 | 3:40pm
MOHAMAD dicalonkan semula pada PRK DUN Rantau selepas Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan beliau dalam PRU14 lalu, batal dan tidak sah. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Tok Mat dicalonkan semula - Zahid

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau selepas Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, batal dan tidak sah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan mahkamah itu sudah dijangka, namun UMNO akan mencalonkan semula Mohamad dan jentera Barisan Nasional (BN) bakal digerakkan sepenuhnya.

“Biarpun banyak kekangan dan halangan, kerusi Rantau mesti dipertahankan.

“Demi maruah dan kesinambungan, mari UMNO/BN, perkasa kesatupaduan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Twitter miliknya, sebentar tadi.

Calon PKR di DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN berkenaan.

Pada 25 Jun lalu, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Streram bagi kerusi DUN Rantau di Parlimen Rembau.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

1981 dibaca
Berita Harian X