Jumaat, 16 November 2018 | 2:14pm
Dr Streram bersama penyokongnya selepas Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu, batal dan tidak sah. - NSTP/Hazreen Mohamad

Keputusan mahkamah bukti demokrasi - Dr Streram

SEREMBAN: Naib Ketua PKR Cabang Rembau, Dr S Streram menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, yang mengisytiharkan kemenangan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau tidak sah dan batal, membuktikan demokrasi berparlimen ditegakkan.

Calon PKR DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu yang juga pempetisyen berkata, beliau gembira dengan keputusan berkenaan.

“Saya berasa sangat gembira sebab enam bulan kita berlawan dengan barisan peguam yang handal untuk mendapatkan keputusan ini bagi rakyat Malaysia.

“Keputusan ini membuktikan sesiapa sahaja calon mempunyai hak untuk bertanding dalam pilihan raya dan pengundi ada suara atau hak untuk memilih calon yang sah,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Streram berkata, beliau menyerahkan kepada parti bagi memilih calon sesuai untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

“Sama ada saya akan menjadi calon PKR, itu terpulang kepada parti untuk memilih walaupun saya yang mencabar keputusan pilihan raya ini,” katanya.

Dr Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU-14, 9 Mei lalu.

Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub sebagai responden kedua; dan SPR responden ketiga.

Dr Streram diwakili empat peguam diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Sementara itu, wakil SPR yang ditemui berkata, SPR akan mengeluarkan notis kekosongan kerusi DUN Rantau dalam tempoh 30 hari selepas menerima sijil perakuan keputusan pilihan raya yang akan dikeluarkan mahkamah.

941 dibaca
Berita Harian X