Jumaat, 16 November 2018 | 1:52pm
ANNUAR menerusi Twitternya menyatakan sokongannya terhadap Datuk Seri Mohamad Hassan. - Foto NSTP

Annuar sokong Tok Mat

SEREMBAN: Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Mohamad Hasan selain beriltizam untuk bersama dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Sokongan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu dinyatakan menerusi Twitternya sebaik Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memutuskan kemenangan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) batal dan tidak sah.

Annuar turut menyifatkan keputusan itu sebagai satu lagi ujian untuk rakyat dalam menghadapi PRK yang kelima selepas PRU-14, 9 Mei lalu.

Sebelum ini rakyat terpaksa berdepan PRK DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong dan terakhir Parlimen Port Dickson.

“Insya-Allah, kita bersama #tokmat membuat persiapan PRK DUN RANTAU... satu lagi ujian buat rakyat,” katanya.

Hakim Datuk Azimah Omar turut memutuskan PRK bagi DUN Rantau yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding perlu diadakan serta-merta.

Azimah membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen, Dr S Streram dan peguam responden, Mohamad yang berlangsung selama 12 hari membabitkan 19 saksi perbicaraan.

Berikutan itu, mahkamah mengisytiharkan Mohamad yang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau adalah tidak sah dan batal.

Pada 25 Jun lalu, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Streram bagi kerusi DUN Rantau di Parlimen Rembau.

Dr Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU-14.

Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub dan SPR masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Berita Harian X