Khamis, 15 November 2018 | 1:07pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. - Foto Nadim Bokhari

Sarawak miliki tadbir urus kewangan terbaik di Malaysia

KUCHING: Kejayaan Sarawak memperoleh pelbagai pengiktirafan, termasuk Sijil Audit Bersih Untuk Pengurusan Akaun Awam oleh Ketua Audit Negara selama 16 tahun berturut-turut jelas memperlihatkan negeri ini memiliki amalan tadbir urus kewangan terbaik di Malaysia.

Malah, tiada kerajaan negeri lain atau Kerajaan Pusat sendiri mampu menandingi rekod tadbir urus kewangan cemerlang seperti Sarawak.

Ini diakui Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg sambil menyatakan pencapaian cemerlang itu turut disokong oleh penarafan lain yang diperoleh Kerajaan Sarawak, termasuk Standard A dari Stable State Credit Rating dan Moody’s Investors Service, khusus dalam pengurusan rizab negeri.

“Ini jelas satu testimoni pengurusan kewangan, urus tadbir dan khidmat awam yang cukup berhemah, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, berkata untuk memantapkan rekod tadbir urus cemerlang, kerajaan negeri turut membabitkan penyertaan wakil Ketua Audit Negara dalam jawatankuasa khas di bawah Lembaga Tender Negeri dipengerusikan Setiausaha Kewangan Sarawak.

Malah, bagi memastikan ketelusan dalam proses berkenaan, wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dijemput menghadiri Mesyuarat Tender Negeri.

“Maka, jangan lagi kita mempersoalkan isu integriti dalam kepemimpinan negeri dan tadbir urus kerajaan negeri. Kita tidak akan membuat kesilapan dalam objektif kita dan tidak akan gagal dalam penyampaian perkhidmatan kita.

“Kita akan terus mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan di bawah undang-undang dan arahan Perbendaharaan,” katanya.

Justeru, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai helah pembangkang yang menyebarkan pelbagai dakwaan tanpa fakta serta gemar bermain persepsi semata-mata.

Sementara itu, Abang Johari menyatakan beliau mentadbir negeri ini bukan untuk faedah peribadi, sebaliknya untuk kemajuan negeri dan kepentingan masa depan `Anak Sarawak’.

“Ini bukan permainan kad dan saya tidak akan membenarkan negeri ini dimusnahkan oleh politik murahan. Maka, kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan GPS tidak gentar dengan taktik pembangkang dan fokus kita adalah pembangunan serta menyediakan perkhidmatan kepada semua rakyat,” katanya.

Katanya, sejak berlakunya peralihan kuasa di peringkat Pusat di bawah Pakatan Harapan (PH), pelbagai taktik digunakan mereka untuk menjatuhkan pemimpin, khususnya mempergunakan isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita tidak gentar dengan taktik ini, malah bersiap sedia menghadapi apa juga isu yang mahu dibangkitkan pembangkang.

“Mereka (pembangkang) didapati menggunakan taktik menakutkan pentadbiran Sarawak dengan secara terus-menerus mempersoalkan kerajaan dan menyindir kerajaan sebagai rasuah dan tidak telus,” katanya.

Beliau mendedahkan pembangkang kerap melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadapnya, Kabinet Sarawak dan kakitangan awam tanpa sebarang bukti kukuh untuk mewujudkan persepsi kepada rakyat ada sesuatu yang salah dengan kerajaan.

“Apabila mereka mengulangi dakwaan tersebut berkali-kali, mereka berharap rakyat akan percaya dengan cerita mereka dan akan beralih menentang kerajaan,” katanya.

1066 dibaca
Berita Harian X