Rabu, 14 November 2018 | 4:11pm
Noraihan Ab Aziz menunjukkan gambar anaknya, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal. - Foto Syamsi Suhaimi

Keluarga Zara bantah cadangan mansuh hukuman mati

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal, bayi 11 bulan yang meninggal dunia akibat dipercayai didera dengan kejam secara seksual dan fizikal, membantah pemansuhan hukuman mati mandatori bagi pelaku jenayah bunuh dengan sengaja.

Ibu Zara, Noraihan Ab Aziz, 22, berkata, dia mahu melihat lelaki yang memperlakukan anaknya sehingga meninggal dunia mendapat balasan setimpal.

“Hati saya tidak akan tenang, tidak akan lega selagi lelaki itu tidak dibawa ke tali gantung. Dia memperlakukan anak saya yang tidak tahu apa-apa, tidak pandai bercakap, sedangkan dia mempunyai isteri, namun tindakannya lebih keji daripada binatang.

“Saya memang tidak bersetuju sekiranya hukuman mati mandatori ini dimansuhkan, ia membayangkan seolah tiada keadilan kepada mangsa dan keluarga kami,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noraihan berkata, sekiranya hukuman mati mandatori dimansuhkan, si pelaku akan dibebaskan kelak dan kemungkinan akan mencari mangsa, termasuk ahli keluarga yang mana memberi tekanan yang amat hebat.

“Sekiranya pemansuhan ini tidak membabitkan kes anak saya sekalipun, saya tetap tidak bersetuju dengan cadangan ini. Mereka hanya dipenjara dan dibebaskan nanti, seolah memberi gambaran sesiapa sahaja bebas untuk melakukan jenayah dan hukumannya hanya dipenjara.

“Golongan ini akan ‘naik kepala’ dan tidak takut kepada undang-undang untuk terus melakukan jenayah. Saya mahu nyawa dibayar nyawa,” katanya.

Jumaat lalu, Nur Muarzara Ulfa meninggal dunia di Hospital Serdang selepas dua hari berada dalam keadaan tenat sebaik dibawa mendapatkan rawatan, dipercayai didera suami pengasuhnya.

Akhbar hari ini melaporkan hukuman mati mandatori bagi pelaku jenayah bunuh dengan sengaja adalah antara 32 kesalahan yang akan dipertimbangkan untuk dimansuhkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, dilaporkan berkata pemansuhan hukuman mati kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia itu turut terpakai kepada kes kematian Nur Muarzara Ulfa.

Berita Harian X