Selasa, 13 November 2018 | 4:19pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh National University of Singapore (NUS) di Singapura, hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia-Singapura kekal negara jiran yang baik - PM

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura kekal sebagai negara jiran yang baik walaupun berdepan dengan beberapa isu antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, walaupun menghadapi masalah yang timbul hari ini dan kemudian, ianya telah diselesaikan tanpa sebarang konfrontasi.

Beliau menggambarkan bagaimana Malaysia dan Singapura telah dipisahkan selepas diperintah oleh Inggeris menjadi protektorat sebelum menjadi dua negara berasingan.

“Ini adalah satu pencapaian buat kedua-dua negara. Biasanya apabila bangsa dipisahkan, akan berlaku pertumpahan darah, tetapi dalam kes ini, kita berpisah secara lancar dan kekal menjadi jiran yang baik,” katanya selepas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh National University of Singapore (NUS) di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Alumni Cemerlang oleh universiti berkenaan

Dr Mahathir berkata, negara lain perlu mengambil perhatian akan perkara itu.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes apabila pemisahan sedemikian berlaku, ia telah membawa perang dan konflik.

“Kami berharap, kami telah menunjukkan contoh mengenai bagaimana dua negara berjiran boleh menyelesaikan masalah tanpa perlu melakukan semua itu (perang dan konflik),” katanya.

Dr Mahathir dalam pada it turut berkongsi perasaannya apabila mengimbas pengalamannya menghabiskan masa enam tahun di Singapura untuk belajar di Kolej Perubatan King Edward VII dari tahun 1947 hingga 1953.

“Saya menghargai masa lalu selama bertahun-tahun tinggal dan belajar perubatan di sini,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau gembira kerana NUS telah menjalin hubungan rapat dengan Universiti Malaya dalam penyelidikan untuk rawatan leukemia.

Beliau berkata, ianya amat membanggakan apabila kedua-dua universiti bekerja rapat dalam mencari penyelesaian untuk penyakit yang memberi kesan kepada kanak-kanak.

“Ini adalah sesuatu yang wajar disokong oleh kerajaan kedua-dua negara,” katanya sambil menambah kerjasama erat Malaysia dan Singapura telah membawa kepada senario yang lebih baik bagi kedua-dua negara.

Terdahulu, Dr Mahathir dan isterinya kembali ke tempat belajarnya dahulu dan bertemu tujuh bekas rakan sekelasnya di Persatuan Alumni Perubatan.

317 dibaca
Berita Harian X