Selasa, 13 November 2018 | 2:57pm
NAIB Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

Cadangan perkenal Akta Inhalan tepat pada masanya

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyambut baik cadangan mengharamkan penanaman ketum dan memperkenalkan Akta Inhalan.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata cadangan itu tepat pada masanya kerana ia dapat membantu mengatasi penyalahgunaan tumbuhan itu selain memerangi tabiat menghidu gam.

Katanya, MCPF pernah mencadangkan Akta Racun 1952 dipinda dengan memindahkan kesalahan menyalahgunakan daun ketum kepada suatu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membendung penyalahgunaannya.

“Difahamkan pada September tahun lepas, pihak berkuasa cuba mengekang penggunaan dan penjualan daun ketum dengan mencadangkan meningkatkan denda sehingga 10 kali ganda dan mengenakan hukuman penjara lebih lama kepada pesalah di bawah Akta Racun 1952.

“Memandangkan kerajaan menarik balik rang undang-undang untuk meminda Akta Dadah Berbahaya yang menjadikan ketum sebahagian “dadah berbahaya” dan penalti setanding dengan kesalahan yang melibatkan ganja, maka adalah penting untuk memastikan hukuman di bawah Akta Racun 1952 (disemak semula 1989) ditingkatkan lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, ini juga sejajar dengan saranan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengharamkan penanaman ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa di Malaysia sebelum penggunaannya semakin meluas.

Ini kerana katanya, walaupun ketum disalahgunakan oleh penagih dadah, ia tidak diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya di negara ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata demikian mempengerusikan mesyuarat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan agensi penguatkuasaan undang-undang, semalam.

Menurut Lam Thye lagi, semua pihak perlu menyokong undang-undang berkaitan inhalan kerana ia dapat membantu pihak berkuasa membendung aktiviti menghidu gam yang mana majoriti penghidu gam adalah remaja.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa penyalahgunaan ketum kian berleluasa di Malaysia dan tindakan tegas mesti diambil untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat dari penyalahgunaan ketum.

“Berdasarkan kajian, ketum boleh memberi kesan ‘khayal’ yang serupa dengan ganja dan mereka yang mengambilnya pada dos yang tinggi boleh menimbulkan bahaya kepada orang lain,” kata beliau.

Tambah beliau, dengan penguatkuasaan yang lebih ketat dan undang-undang baru yang memberikan penalti lebih tinggi, pihaknya yakin pihak berkuasa dapat menurunkan jumlah penyalahgunaan ketum dan kes menghidu gam, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Dilaporkan bahawa lebih 14,000 orang ditangkap kerana penyalahgunaan ketum sejak tahun 2015 dan banyak kawasan khususnya di negeri utara, ditanam dengan pokok ketum.

Pengguna ketum menggunakannya sebagai ubat penahan sakit dan minuman tenaga tetapi penyalahgunaannya boleh menyebabkan ketagihan.

264 dibaca
Berita Harian X