Selasa, 13 November 2018 | 2:42pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik berucap pada Forum Permuafakatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bersama Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2018 di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Elemen anti rasuah dalam mata pelajaran sivik tahun depan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan elemen anti rasuah dalam mata pelajaran sivik di sekolah bermula pertengahan tahun depan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata mata pelajaran berkenaan akan diajar di peringkat sekolah rendah dan menengah selain diperkenalkan pada peringkat prasekolah dalam bentuk penerapan nilai murni.

Katanya, selain anti rasuah, elemen-elemen lain termasuk hak asasi manusia, keselamatan jalan raya dan alam sekitar.

“Kita tiada subjek khusus seperti anti rasuah tetapi apa yang kita akan lakukan adalah memasukkannya sebagai salah satu tajuk dalam mata pelajaran sivik, yang kita akan perkenalkan semula.

“Bermula tahun depan kita akan mula mengkaji mata pelajaran itu. Subjek ini bukan sebagai subjek wajib lulus tetapi subjek yang wajib untuk dipelajari,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Forum Permuafakatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bersama Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Kementerian Pendidikan supaya menjadikan subjek rasuah sebagai subjek wajib di sekolah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata sikap membenci rasuah perlu ditanam dalam diri pelajar dari peringkat awal bagi mengelak ia merebak apabila mereka dewasa.

Mengulas pendedahan Shukri bahawa pelakuan rasuah turut merebak di sekolah membabitkan pelajar dan guru termasuk terdapat kes guru meminta ‘anu’ atau seks daripada pelajar bagi membolehkan lulus peperiksaan, Maszlee berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima laporan berkaitan perkara berkenaan.

“Apa sahaja yang berlaku kita minta pihak terbabit melaporkan kepada polis. Jangan sembunyi dan kita tidak akan bertoleransi, kalau laporan itu ada kita akan ambil tindakan.

“Kita beri jaminan semua mangsa akan dilindungi berlandaskan undang-undang. Kita mahu mangsa untuk tampil buat laporan serta mahu memastikan sekolah adalah tempat yang selamat untuk semua pelajar dan guru,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Maszlee menegaskan beliau akan meneruskan legasi dan perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menegakkan integriti, nilai murni dan budaya bekerja keras dalam kalangan warga pendidik dan pelajar.

Berita Harian X