Selasa, 13 November 2018 | 2:37pm
KETUA Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid memotong pulut kuning pada Majlis Perasmian Mesyuarat Penolong Pengarah Negeri Bahagian Keselamatan Kebakaran Bil 3/2018, di Kuching, hari ini. - Foto Jannah Kho

Ada lagi pampasan untuk waris 6 anggota bomba

KUCHING: Waris enam anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah lombong di Puchong, Selangor, 3 Oktober lalu, menerima pampasan antara RM300,000 hingga RM500,000.

Jumlah itu adalah keseluruhan daripada 10 jenis pampasan yang diberikan kepada waris anggota terbabit daripada kerajaan, persatuan kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sumbangan orang ramai.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini semua waris enam anggota terbabit sudah menerima pampasan berjumlah antara RM200,000 hingga 300,000.

“Ia adalah jumlah pampasan yang sudah diserahkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin kepada waris anggota terbabit pada 24 Oktober lalu.

“Kita akan menyerahkan pampasan untuk siri kedua dengan jumlah tidak kurang RM100,000 lagi kepada setiap anggota dan ini bermakna setiap seorang secara keseluruhannya akan menerima antara RM300,000 hingga RM500,000 bergantung kepada kekananan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Penolong Pengarah Negeri Bahagian Keselamatan Kebakaran Bil 3/2018, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Edwin Galan Teruki dan Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman.

Mohammad Hamdan berkata, antara pampasan yang diterima ialah pembayaran ex-gratia, insurans kelompok kerajaan, insurans koperasi JBPM, khairat kematian daripada kerajaan, khairat kematian koperasi, insurans kesatuan, pampasan daripada persatuan kebajikan, sumbangan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta sumbangan daripada orang awam.

Beliau berkata, salah seorang anggota terbabit, Allahyarham Yahya Ali, yang berasal dari Kampung Tian, Matu, antara penerima pampasan paling tinggi dengan keseluruhan yang diserahkan setakat ini berjumlah RM280,000 termasuk RM20,000 yang disumbangkan Kerajaan Persekutuan, RM20,000 oleh kerajaan negeri Selangor dan RM10,000 daripada kerajaan negeri Sarawak.

“Pangkat Allahyarham (Yahya) turut dinaikkan setingkat, sekali gus membolehkan warisnya menerima pembayaran ex-gratia yang lebih tinggi, begitu juga dengan pencen terbitan.Selepas ini warisnya akan menerima tidak kurang RM100,000 lagi,” katanya.

Enam anggota JBPM yang lemas dalam kejadian itu ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25;Yahya Ali, 24;Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Mohammad Hamdan berkata, sehingga kini kira-kira separuh daripada 8,610 bangunan berisiko kebakaran yang tinggi di seluruh negara sudah menerima sijil perakuan bomba (FC) manakala sebahagian lagi masih dalam proses penilaian.

“Kita akan memastikan semua bangunan yang ditetapkan ini, iaitu yang berisiko tinggi mengalami kebakaran termasuk bangunan pejabat kerajaan, menerima FC,” katanya.

Mengenai usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keselamatan kebakaran, beliau berkata, pihaknya memerlukan perbelanjaan besar tahun depan bagi melaksanakan program pendidikan menyeluruh bermula daripada peringkat pra -sekolah hinggalah golongan profesional.

542 dibaca
Berita Harian X