Selasa, 13 November 2018 | 1:19pm
LIEW Vui Keong. - NSTP/Rosela Ismail

RUU tubuh IPCMC dibentang Mac 2019

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka dibentang pada sidang Parlimen, Mac tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata RUU badan berkanun baharu bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) itu akan dibentang selepas perkara dasar dan isu berkaitan dimuktamadkan.

Katanya, usaha itu selaras Janji 20 yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menangani isu integriti dan menyiasat salah laku dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pada mesyuarat susulan, syor dibentangkan dan dipersetujui bagi memastikan IPCMC benar bebas, berkesan dan mempunyai kuasa untuk tangani masalah dalam agensi penguat kuasa berkenaan.

“Kerangka penubuhan IPCMC mengambil kira kuasa lebih menyeluruh, selaras peruntukan sedia ada,” katanya menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH PKR-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat, hari ini.

Maria meminta kerajaan menyatakan garis masa bagi penubuhan IPCMC dan langkah bagi memastikan ia benar bebas serta mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang, selain bukan sekadar memberi syor tatatertib seperti EAIC sebelum ini.

Menjawab soalan tambahan Maria yang memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengenai IPCMC, Vui Keong berkata, ia berkaitan dengan isu hak agensi penguat kuasa berkenaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan menggariskan Suruhanjaya Pasukan Polis yang dianggotai Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab terhadap pelantikan naik pangkat dan isu tatatertib.

“Hak polis terjamin menerusi perlembagaan seperti dibangkitkan Ketua Polis Negara, justeru penubuhan IPCMC ini sedikit bercanggah dengan Artikel 140.

“Berdasarkan Artikel 132 dan Artikel 144(1) Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa tatatertib terhadap anggota dalam perkhidmatan awam tidak boleh dilaksanakan badan berkanun, sebaliknya terletak kepada bidang kuasa suruhanjaya perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Mengulas soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN UMNO-Parit Sulong) mengenai kriteria pelantikan ahli IPCMC, Vui Keong berkata, butiran itu akan diperincikan menerusi pembentangan RUU penubuhan suruhanjaya berkenaan kelak.

Berita Harian X