Selasa, 13 November 2018 | 12:38pm
TUN Dr Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kerhormat Doktor Undang-undang dan Anugerah Perkhidmatan Alumni Cemerlang daripada National University of Singapore (NUS) di Kampus Kent Ridge, NUS. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah terima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang daripada NUS

SINGAPURA: Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini menerima Ijazah Kerhormat Doktor Undang-undang dan Anugerah Perkhidmatan Alumni Cemerlang daripada National University of Singapore (NUS).

Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang yang diterima Perdana Menteri itu sebagai pengiktirafan kepimpinan beliau yang cemerlang serta sumbangannya kepada hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia.

Dr Siti Hasmah pula menerima anugerah itu sebagai penghormatan kepadanya yang menjadi contoh serta perintis yang banyak memberi inspirasi kepada doktor wanita di Malaysia, selain mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangannya dalam bidang kesihatan awam.

Dr Mahathir dan isterinya adalah alumni NUS yang dahulu dikenali sebagai Kolej Perubatan King Edward VII.

Majlis penganugerahan itu berlangsung di satu majlis khas yang diadakan di Kampus Kent Ridge, NUS yang turut dihadiri Presiden Singapore President Halimah Yacob, yang juga Canselor univesiti berkenaan.

Presiden NUS, Professor Tan Eng Chye berkata, satu penghormatan dan kebanggaan kepada universiti ini untuk meraikan pencapaian yang membanggakan pasangan berkenaan.


TUN Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima Ijazah Kerhormat Doktor Undang-undang dan Anugerah Perkhidmatan Alumni Cemerlang daripada National University of Singapore (NUS) di Kampus Kent Ridge, NUS. - Foto BERNAMA

"Dr Siti Hasmah adalah perintis yang menjadi contoh serta inspirasi untuk doktor wanita. Beliau juga pejuang yang unggul dalam memperjuangkan isu kesihatan awam.

"Pasangan hidupnya pula adalah seorang negarawan berkarisma dan berwawasan yang membentuk sejarah Malaysia dan rantau ini dalam pelbagai cara.

"Dalam tahun keemasan mereka, pasangan popular ini terus berkhidmat kepada negara dan masyarakat mereka dengan dedikasi dan cemerlang, "katanya, sambil menambah bahawa tenaga luar biasa pasangan itu dan kesan prestasi gabungan mereka menjadi inspirasi untuk komuniti NUS.

Dr Mahathir menuntut sebagai pelajar perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII dari 1947 hingga 1953.

Selepas tamat pengajian, beliau berkhidmat di pelbagai hospital kerajaan sebelum membuka sendiri kliniknya, MAHA Klinik yang menjadikan beliau anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Setar yang pada ketika itu.

Beliau terpilih sebagai ahli parlimen pada 1964 selepas menang pilihan raya di Parlimen Kota Setar.

Siti Hasmah yang mendaftar bersama Dr Mahathir di kolej itu, menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu pada tahun pengajian berkenaan.

Beliau lulus pada tahun 1955 dan kembali ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di hospital awam.

Beliau mencipta beberapa pencapaian sepanjang bertugas di Kementerian Kesihatan termasuk menjadi wanita pertama di Malaysia yang dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak pada 1965.

Pada tahun 1974, beliau menjadi doktor wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.


PERDANA Menteri, TUN Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Presiden Singapura, yang juga Canselor National University of Singapore (NUS) Halimah Yacob (duduk, lima dari kanan) bergambar bersama tenaga pengajar di Kampus Kent Ridge, NUS. - Foto BERNAMA

963 dibaca
Berita Harian X