Isnin, 12 November 2018 | 8:53am
SAIFUDDIN pada sidang media mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke Singapura dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Hotel Shangri la. - Foto BERNAMA

PM hadir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33

SINGAPURA: Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan lawatan kerja pertamanya ke Singapura selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33.

Berdasarkan apa yang diperkatakan pada kebanyakan mesyuarat tidak rasmi pra-persidangan, Dr Mahathir dilihat perlu memenuhi banyak jangkaan dan harapan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebagai pemimpin ASEAN paling kanan ketika ini, banyak pihak berharap Dr Mahathir akan menunjukkan kepemimpinannya dalam beberapa isu yang dihadapi rantau itu.

“Ramai yang meletakkan harapan tinggi terhadap peranan Dr Mahathir dalam ASEAN.

“Kami mendengar perkara ini beberapa kali pada mesyuarat tidak rasmi sebelum ini. Ada jangkaan tertentu daripada banyak pihak, khususnya kerana beliau kembali selepas 15 tahun dan kami menjangkakan satu keputusan yang membuahkan hasil,” katanya.

Dr Mahathir akan membangkitkan isu penyatuan serantau, perdagangan dan keselamatan kali ini.

Saifuddin berkata, Dr Mahathir dijangka menyentuh beberapa isu rantau itu, termasuklah keperluan ASEAN mengekalkan perpaduan dan inklusif dalam erti kata yang sebenarnya.

Perkara lain yang mungkin dibangkitkan termasuklah isu membabitkan kebimbangan terhadap penempatan semula pelarian Rohingya.

Dr Mahathir akan disambut oleh rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong sebelum melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Kedua-dua pemimpin itu kemudian akan bertemu untuk memperkukuhkan hubungan dua hala sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri Singapura.

Perkukuh hubungan baik

“Objektif utama adalah untuk memperkukuh hubungan baik sedia ada yang kita nikmati selama ini.

“Tiada agenda spesifik yang akan dibincangkan kerana kita sudah selesaikan kebanyakan perkara beberapa bulan sebelum ini, termasuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR),” kata Saifuddin, sambil menegaskan kemampuan kerajaan Pakatan Harapan menyelesaikan isu HSR dengan Singapura menunjukkan kedua-dua pihak diterajui kebijaksanaan dalam penyelesaian masalah.

Selepas makan tengah hari, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberi penghormatan menamakan spesies orkid sempena nama mereka berdua, sebelum pasangan itu menghadiri sesiminumpetang bersama rakyat Malaysia di sini.

Pada Selasa, Dr Mahathir akan menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Menteri Kanan Emeritus, Goh Chok Tong.

Dr Mahathir akan turut dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh National University of Singapore (NUS), tempat beliau pernah belajar.

Perdana Menteri yang sentiasa menjadi tumpuan media antarabangsa, tidak dapat mengelak daripada wartawan yang beratur untuk mendapatkan slot temu bual bersamanya.

Ketika ini, beliau dijadualkan untuk ditemubual CNBC International pada hari pertama lawatannya, selain Straits Times Singapura pada hari berikutnya sebelum menghadiri majlis pembukaan sidang kemuncak.

567 dibaca
Berita Harian X