Sabtu, 10 November 2018 | 1:08pm
SETIAUSAHA Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Besar di sini, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

602 individu terima darjah kebesaran Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V

KOTA BHARU: Seramai 602 individu akan menerima Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-49 yang akan berlangsung di Istana Balai Besar di sini, esok.

Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad berkata daripada jumlah berkenaan, seramai 37 individu akan menerima darjah kebesaran bergelar Datuk manakala lima lagi dilantik sebagai Jaksa Pendamai.

“Menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, adalah saya dengan ini memaklumkan bahawa baginda telah mengampuni perkenan mengurniakan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Pingat-Pingat dan Surat Kepujian kepada seramai 597 orang penerima sebagaimana yang telah ditentukan serta melantik seramai lima orang menjadi Jaksa Pendamai sempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Muhammad V ke-49.

“Adapun Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Pingat-Pingat dan Surat Kepujian kepada seramai 597 orang penerima dan pelantikan Jaksa Pendamai kepada lima orang akan dilangsungkan di Istana Balai Besar oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan (Dr Tengku Muhammad Faiz Petra),” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Besar di sini, hari ini.

Beliau berkata pada esok, seramai 205 penerima akan menerima darjah kebesaran masing-masing manakala bagi penerima Bintang, Pingat dan Surat Kepujian akan disempurnakan pada 4 Mac tahun depan. – BERNAMA

2695 dibaca
Berita Harian X