Sabtu, 10 November 2018 | 7:00am
PEMUZIK, Yuzailan Yunus.

Selebriti selawat dalam video #JomCintaNabi

KUALA LUMPUR: Bersempena kempen #JomCintaNabi, BH akan menghasilkan klip video eksklusif yang menampilkan gabungan selebriti popular berselawat, untuk menyemarakkan kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW menjelang Maulidur Rasul.

Selebriti terbabit ialah Ikon #JomCintaNabi, Hafiz Hamidun; Datuk Seri Siti Nurhaliza; Khai Bahar; Kumpulan UNIC; Usop (Mentor); Masya Masyitah dan Kumpulan Nur Al Badar.

Penerbit Unit Multimedia NSTP, Azrul Affandi Sobry, berkata klip video itu dijangka akan disiarkan Rabu depan di semua platform media sosial BH, termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube.

“Video klip ini bermatlamat mendapatkan sokongan terutama pengguna media sosial, untuk sama-sama menghayati dan mengamalkan selawat.

“Kami berharap mereka yang menonton boleh menularkan video ini dengan berkongsi di laman sosial peribadi masing-masing.

“Pembikinan video berkonsepkan kompilasi selawat berdurasi selama enam minit itu, akan dimulakan dengan bacaan puisi mengenai Rasulullah SAW,” katanya.

Sementara itu, pemuzik, Yuzailan Yunus yang turut terbabit dalam pembikinan klip selawat ini berkata, ia penghormatan kepadanya kerana dapat menjayakan projek bersama BH.

Hasilkan skor muzik klip selawat

“Saya bertanggungjawab menghasilkan skor muzik bagi klip selawat ini, antara alat muzik yang digunakan adalah seruling dan piano.

“Pengalaman ini sangat berharga kerana saya sendiri tidak pernah terbabit atau melihat klip selawat dengan konsep sedemikian, di mana-mana platform media sosial sebelum ini,” katanya.

Kempen #JomCintaNabi anjuran BH dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula hari ini hingga 10 Disember depan.

#JomCintaNabi disokong rakan strategik, iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Bank Rakyat, BIMB Holdings Berhad, Travelyoyo Sdn Bhd, Jiujiu HealthLife dan Harmony Language Centre.

Anjur pelbagai pengisian, aktiviti

Sepanjang kempen berlangsung, pelbagai pengisian dan aktiviti dianjurkan, termasuk penyiaran artikel dan rencana mengenai sirah, sahsiah, sunnah dan selawat, peraduan Jom Selawat, poster eksklusif #JomCintaNabi dalam akhbar BH, platform digital Berita Harian Online dan media sosial serta kapsul BHTV, Jom Tanya Ustaz Edisi Khas: #JomCintaNabi.


PERADUAN dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul ini dibuka selama sebulan sejak 10 November lalu hingga 10 Disember depan.

539 dibaca
Berita Harian X