Jumaat, 9 November 2018 | 5:32pm
TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kor Ming nafi terima derma ahli perniagaan

IPOH: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, menafikan dakwaan bahawa beliau menerima derma daripada seorang tokoh perniagaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Semua laporan yang dibuat oleh seorang peguam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara semalam adalah tidak benar.

“(Malah) (ahli perniagaan yang didakwa itu) Mr Koon (Yew Yin) pun dan mohon maaf secara terbuka (terhadap beliau kerana membuat dakwaan itu),” katanya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, membuat dua laporan kepada SPRM mendakwa wujudnya rasuah membabitkan tokoh perniagaan, Koon Yew Yin serta beberapa individu dalam Kerajaan Negeri Perak.

Mohd Khairul mendakwa, maklumat mengenai wujudnya unsur rasuah itu diperoleh berdasarkan artikel diterbitkan pada 2 November lalu dalam blog milik tokoh perniagaan itu yang bertajuk ‘Perak Sultan has no right to stop my appoinment as economic adviser’ (Sultan Perak tidak mempunyai kuasa menghentikan perlantikan saya sebagai penasihat ekonomi).

Katanya, menerusi artikel yang kemudian dipadamkan sendiri oleh Yew Yin, tokoh perniagaan itu mengaku menyumbang ratusan ribu ringgit kepada parti dalam Pakatan Harapan dan sebagai balasan, beliau dijanjikan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Perak.

Mohd Khairul dipetik sebagai berkata, SPRM juga perlu menyiasat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang menerima derma secara peribadi RM300,000 sebagaimana didedahkan tokoh perniagaan dalam artikel kedua ditulis dalam blog yang sama bertarikh 5 November lalu.

Beliau dilaporkan berkata, dua artikel berkenaan sempat dirakam (screen shot) olehnya sebelum ia dipadamkan dan boleh digunakan SPRM untuk siasatan rasuah.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak, berkata Yew Yin sudah membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya pada 6 November lalu.

Dalam surat berkenaan, Yew Yin yang juga pengasas sebuah syarikat pembinaan antara terbesar di negara ini, dipetik memohon maaf kerana menulis artikel berkenaan.

“Saya memohon maaf kerana menulis artikel itu. Seribu kemaafan daripada saya. Saya harap permohonan maaf secara terbuka ini akan mendorong YB (Yang Berhormat) Nga (Kor Ming) yang juga pendukung kuat Kristian, untuk memaafkan saya.

“Saya memberi jaminan kepada pembaca (blog beliau) bahawa saya akan terus membantu YB Nga dan semua empat komponen parti Pakatan Harapan sama ada secara fizikal atau kewangan. YB Nga, sila maafkan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak, Howard Lee Chuan How, berkata pihaknya tidak melihat dakwaan berkenaan sebagai satu isu kerana individu yang membuat dakwaan sudah pun meminta maaf.

“Dakwaan itu daripada satu pihak kepada pihak lain, apa yang saya maklum ia bukan berkaitan dengan parti politik, sebelum pilihan raya pun, bukan berkaitan dengan kerajaan negeri atau Pusat, ini hanya dakwaan seseorang terhadap individu yang lain.

“Ini bukan isu yang sesuai untuk saya ulas kerana yang mendakwa pun sudah tutup kes, jika peguam itu hendak mendakwa, dia mempunyai kebebasan untuk mendakwa, tapi saya rasa isu ini adalah isu yang sudah ditutup,” katanya.

1255 dibaca
Berita Harian X