Jumaat, 9 November 2018 | 2:53pm
MENTERI Besar yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyampaikan sumbangan kepada pelajar di Dewan Padang Sera. - Foto Amran Hamid

Tiada keperluan ratifikasi ICERD

JERLUN: Tiada keperluan bagi negara untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) berikutan dasar itu tidak bersesuaian untuk diamalkan di Malaysia.

Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata negara tidak memerlukan pengimportan dasar asing kerana dasar sedia ada di Malaysia jelas sudah mewujudkan keadaan yang aman damai.

“Kita berpendirian bahawa ia perlu dinilai sedalam-dalamnya kerana kita tidak mahu sesuatu yang akan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan kalau kita faham tujuan ICERD adalah untuk memberi kesamarataan bagi masyarakat minoriti.

“Tapi dalam negara kita, kita ada dalam satu keadaan unik di mana pihak yang terpinggir dari arus pembangunan perdana adalah masyarakat majoriti, jadi dia tak sama dengan asas wujudnya ICERD itu, ” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada lebih 100 pelajar di Dewan Padang Sera di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang dipetik berkata, kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, situasi sebenar yang berlaku di negara ini jelas tidak menyamai dengan asas kewujudan ICERD.

Justeru katanya, kerajaan akan sentiasa melihat apa yang boleh dilakukan bagi memastikan keadilan untuk semua pihak tercapai tanpa melalui ICERD.

“Dalam hal ini saya fikir ramai yang berpandangan supaya kepentingan majoriti mesti diberi pertimbangan sewajarnya seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Maka tidak semudah itu dan saya berpendirian tiada keperluan untuk kita meratifikasi ICERD kerana dari semasa ke semasa, kerajaan melihat apa lagi yang boleh dibuat bagi memastikan keadilan untuk semua pihak tercapai tetapi tidak semestinya menerusi ICERD, ” katanya.

Sementara itu, berhubung pembentangan belanjawan Kedah 2019 bulan ini, Mukhriz menyifatkan ia akan bersifat realistik dan bukannya syok sendiri berdasarkan sumber kewangan negeri yang terhad.

Beliau berkata, pihaknya tak mahu belanjawan yang dibentangkan sekadar berbunyi bagus dan memberi gambaran seolah-olah kerajaan negeri kaya-raya tetapi hakikatnya sebahagian yang dirancang tidak kesampaian akibat peruntukkan tidak mencukupi.

“Saya kena akui bahawa kita hadapi kekangan kerana maklumlah kerajaan negeri bukan ada sumber pendapatan besar berbanding negeri lebih maju jadi kita kena realistik dan muhasabah diri kerana penting untuk kita mewujudkan belanjawan yang berdiri atas bumi nyata dan bukannya syok sendiri, ” katanya.

Mengulas mengenai keputusan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang akhirnya akan menyertai BERSATU, Mukhriz berkata, ia adalah satu penghargaan buat parti kerana Rafidah adalah bekas pemimpin yang mempunyai rekod cemerlang.

Katanya, beliau percaya kehadiran ramai bekas pemimpin UMNO mempunyai rekod cemerlang yang turut mengambil langkah sama seperti Rafidah sebelum ini, mampu menyumbang kepada idea bernas demi pembangunan parti dan negara tanpa mengharapkan sebarang jawatan.

1140 dibaca
Berita Harian X