Jumaat, 9 November 2018 | 12:54pm
AMIRUDIN (tengah) menanam pokok sebagai simbolik sempena Perhimpunan Penjawat Awam Daerah Sabak Bernam di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Selangor teliti semula program IPR

SUNGAI BESAR: Kerajaan Selangor akan meneliti semula program Insentif Peduli Rakyat (IPR) dengan menjalankan kajian terhadap skim bantuan itu bagi mengelak kebergantungan rakyat terhadap kerajaan sepenuhnya.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata kajian itu dibuat selepas 10 tahun pelaksanaannya terutama berkaitan keberkesanan pemberian membantu rakyat keluar daripada kemiskinan.

“Hasil kajian menunjukkan beberapa program di bawah IPR menimbulkan perasaan tidak baik iaitu kebergantungan rakyat kepada kerajaan semata-mata.

“Ia bukan ciri-ciri pentadbiran yang diinginkan kerana kerajaan sudah pasti membantu rakyat terutama golongan miskin, kurang upaya dan tidak mampu bersaing dengan baik.

“Namun, bagi rakyat yang sihat, boleh bekerja, berpendidikan dan mempunyai kemampuan, mereka bukannya harus disuap tetapi perlu diperkasakan lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bersama Penjawat Awam di Dewan Seri Bernam di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang memberi perhatian kepada pemberian bantuan kepada pemerkasaan dan pembedayaan.

“Pemerkasaan bukan saja menumpukan pemberian secara percuma, tetapi juga melalui kemahiran, pengetahuan dan pendidikan,” katanya.

Amirudin berkata terdapat beberapa program IPR mencapai objektif dalam usaha membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan sebelum ini.

“Sebagai contoh, program HIJRAH membantu lebih 50,000 peminjam dan ia menunjukkan 60 peratus daripadanya meningkat dari segi perniagaan yang diusahakan.

“Selain itu, Tuisyen Rakyat yang dilaksanakan lebih 10 tahun lalu membantu anak-anak muda mendapat tuisyen percuma sekali gus menggerakkan pencapaian akademik lebih baik,” katanya.

Menurutnya, rakyat terutama penjawat awam perlu bersedia menghadapi perubahan itu.

“Ia tidak bererti kita (kerajaan) menarik semua subsidi dan mengurangkan apa yang diberi tetapi kita ingin mengubah fasa sedia ada.

“Malah, kerajaan mahu menunjukkan bahawa kekayaan dan hasil nikmat boleh dikongsi bersama,” katanya.

200 dibaca
Berita Harian X