Jumaat, 9 November 2018 | 12:43pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

KPDNHEP kelola subsidi petrol - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertanggungjawab sepenuhnya bagi pelaksanaan sistem kad khas dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengelola kaedah pelaksanaan kad petrol RON95 yang akan diberikan kepada golongan berpendapatan terendah (B40) jika ia dilaksanakan.

“Saya minta beliau (Saifuddin) untuk uruskan kad subsidi petrol ini yang akan dapat meringankan beban dan kos sara hidup rakyat.

“Semuanya akan diputuskan oleh Saifuddin dan tender terbuka bagi pelaksanaan sistem berkenaan akan dijalankan oleh Kementerian Kewangan.

“Untuk maklumat terperinci, tanya beliau kerana dia akan menjadi pengelola dan pengurus projek ini,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Sri Pentas, di sini semalam.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan golongan B40 diberi keutamaan menikmati subsidi 30 sen yang akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun hadapan.

Selain pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc, pemilik motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi RON95 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter dan 40 liter bagi motosikal.

Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal.

1281 dibaca
Berita Harian X