Jumaat, 9 November 2018 | 11:47am
MENTERI Besar, Aminuddin Harun. - NSTP/Hazreen Mohamad

Aminuddin dibenarkan keluar hospital

SEREMBAN: Menteri Besar, Aminuddin Harun, yang dimasukkan semula ke Hospital Serdang bagi pemantauan malam Selasa lalu, dibenarkan keluar petang semalam.

Sumber berkata, Aminuddin yang menjalani pembedahan jantung hujung bulan lalu, dibenarkan keluar selepas pakar yang memantau tahap kesihatannya berpuas hati dengan perkembangan beliau.

“Beliau dihantar ke Hospital Serdang malam Selasa lalu selepas mengalami batuk berkahak kerana pakar yang mengendalikan pembedahan jantungnya hujung bulan lalu mahu membuat pemantauan.

“Alhamdulillah batuk berkahak itu tidak mempunyai kaitan dengan pembedahan jantung sebelum ini dan pakar membenarkan dia pulang.

“Bagaimanapun, beliau dinasihatkan berehat secukupnya dan mengehadkan tetamu yang mahu menziarahinya,” katanya di sini, hari ini.

NSTP semalam melaporkan Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri, dimasukkan semula ke Hospital Serdang untuk pemantauan, namun bukan disebabkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Media sebelum ini melaporkan, Aminuddin dijangka bercuti selama dua minggu selepas menjalani pembedahan pada 26 Oktober lalu.

274 dibaca
Berita Harian X