Khamis, 8 November 2018 | 7:47pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama orang ramai pada majlis pelancaran koleksi not emas Harapan hasil inisiatif syarikat barang kemas, Poh Kong di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Dr Mahathir lancar not emas Harapan keluaran Poh Kong

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan koleksi not emas Harapan hasil inisiatif syarikat barang kemas, Poh Kong di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP).

Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, beliau berharap entiti perniagaan lain dapat mencontohi inisiatif berkenaan sekali gus memberi inspirasi untuk menyumbang kepada negara.

Menurutnya, pelancaran not emas berkenaan tepat pada masanya ketika Malaysia kini sedang bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa.

"Kerajaan kini sedang meraikan kejayaan selepas berjaya membebaskan negara daripada belenggu kleptokrasi dan rejim yang menindas.

"Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana jangkaan rakyat terhadap kerajaan sangat tinggi menjadikan tanggungjawab lebih berat," katanya dalam ucapan selepas melancarkan koleksi not emas berkenaan, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Poh Kong, Datuk Choong Yee Seiong.

Katanya, kerajaan bagaimanapun tidak akan duduk dan melihat kerosakan ditinggalkan sebaliknya memulihkan ia selain berjanji meletakkan Malaysia di kedudukan yang sah sebagai Harimau Asia.

Dr Mahathir berkata, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Poh Kong khususnya Yee Seiong untuk memperkenalkan koleksi not emas berkenaan dengan sebahagian jualannya disumbang kepada Tabung Harapan Malaysia.

Terdahulu, pada program sama, Dr Mahathir turut menerima sumbangan berjumlah RM1 juta hasil daripada jualan not emas berkenaan yang diserahkan sendiri oleh Yee Seiong.

Berita Harian X