Khamis, 8 November 2018 | 7:23pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kerajaan PH tidak campur tangan - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan campur tangan dalam aspek pelaksanaan undang-undang terhadap bekas pemimpin terdahulu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, dari segi kesalahan terpulang kepada pelaksanaan undang-undang bagi mendakwa mereka atas perbuatan mereka semasa memerintah negara.

"Soal nak menyalahkan orang itu dari segi undang-undang. Bukan soal kita," katanya kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan memang fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat dan giat berusaha untuk mengembalikan negara di landasan yang betul.

"Kita kena fokus kepada masalah agar boleh jadi semula sebuah negara yang dihormati oleh dunia. Itu tujuan kita," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Negara (CEP), Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan Pakatan Harapan harus berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu.

Daim berkata, PH perlu menumpukan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah, dan kerajaan baharu perlu berhenti menuding jari dan menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara ini selama 61 tahun.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan membentangkan belanjawan tambahan selepas Belanjawan 2019 dilaksanakan.

“Kita ada suplementari bajet setelah kita laksanakan bajet yang kita ada sekarang," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Belanjawan 2019 perlu disemak semula bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir.

6209 dibaca
Berita Harian X