Khamis, 8 November 2018 | 4:48pm
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim (enam dari kiri), Pengerusi The New Straits Times Press (NSTP), Tan Sri Ismail Omar (lima dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (empat dari kiri); Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (tujuh dari kiri) bersama-sama rakan strategik hadir pada majlis pelancaran kempen #JomCintaNabi di Balai Berita, NSTP. - Foto Saddam Yusoff
Ismail, Abdul Jalil dan Ahmad Zaini berbual-bual dengan Mohamad Nordin serta rakan strategik BH pada majlis pelancaran kempen #JomCintaNabi sempena Maulidur Rasul di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
(Dari kiri) Abdul Jalili, Ismail, Mohamad Nordin dan Ahmad Zaini pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen #JomCintaNabi anjuran BH di Balai Berita, Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff
PENYANYI Hafiz Hamidun ialah ikon kempen #JomCintaNabi. - Foto Saddam Yusoff

BH anjur kempen #JomCintaNabi sempena Maulidur Rasul

KUALA LUMPUR: Sempena Maulidur Rasul tahun ini, BH menganjurkan kempen #JomCintaNabi, yang pertama seumpama itu, bagi menyemarakkan kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW, selain memeriahkan sambutan ulang tahun hari kelahiran baginda.

Sepanjang kempen berlangsung, pelbagai pengisian dan aktiviti dianjurkan, termasuk penyiaran artikel dan rencana mengenai sirah, sahsiah, sunnah dan selawat, peraduan Jom Selawat, poster eksklusif #JomCintaNabi dalam akhbar BH, platform digital Berita Harian Online dan media sosial serta kapsul BHTV, Jom Tanya Ustaz Edisi Khas: #JomCintaNabi.

Kempen yang dilancarkan hari ini akan bermula Sabtu ini sehingga 10 Disember. Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Turut diperkenalkan dalam acara yang berlangsung di Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP) itu, ialah ikon #JomCintaNabi, iaitu penyanyi Hafiz Hamidun.

#JomCintaNabi mendapat kerjasama JAKIM dan disokong rakan strategik, iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Bank Rakyat, BIMB Holdings Berhad, Travelyoyo Sdn Bhd, Jiujiu HealthLife dan Harmony Language Centre.

Dr Mujahid berkata, usaha BH menganjurkan kempen itu selari dengan semangat Maulidur Rasul bagi mengangkat Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Beliau berkata, kempen itu juga diharap dapat menghidupkan semangat umat Islam untuk menerapkan sunnah, mempelajari sirah dan mencontohi Nabi Muhammad SAW yang sempurna.

“Kempen merentasi pelbagai platform versi cetak dan digital ini mampu memperluaskan seruan untuk bersama-sama menyintai Rasulullah SAW kepada setiap lapisan masyarakat.

“Setiap golongan diharap berupaya menjadikan sunnah dan sahsiah baginda sebagai suri teladan dalam setiap aspek kehidupan termasuk membangunkan negara dan menjulang Islam sebagai agama yang bersifat rahmat kepada seluruh alam,” katanya.

Yang turut hadir Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Mujahid berkata, kempen itu amat bermakna sebagai wadah membentuk kesedaran dan penghayatan Islam yang syumul kepada masyarakat.

“Saya berharap kerjasama BH dengan JAKIM dapat diteruskan khususnya dalam merealisasikan tanggungjawab dan amanah mengangkat Islam sebagai agama yang bersifat rahmat.

“Ia juga penting dalam menguruskan umat Islam dengan cara hikmah, iaitu antara lain menyantuni masyarakat Islam dan bukan Islam seperti ditunjukkan dalam sirah serta sunnah Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil berharap kempen #JomCintaNabi dapat menyedarkan rakyat Malaysia dan menjadikan Maulidur Rasul bukan sahaja sambutan setahun sekali, sebaliknya diraikan setiap masa.

“Masyarakat diharap dapat mengambil penghayatan daripada amalan dan teladan daripada sirah, keperibadian dan akhlak baginda yang terpuji untuk dijadikan sebagai pegangan dalam setiap aspek kehidupan harian kita,” katanya.

249 dibaca
Berita Harian X