Khamis, 8 November 2018 | 3:40pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pertemuan khas PM tidak bincang rombakan Kabinet?

PUTRAJAYA: Pertemuan khas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) selama kira-kira dua jam hari ini tidak menyentuh perbincangan mengenai rombakan Kabinet.

Difahamkan, pertemuan itu hanya membincangkan perincian Belanjawan 2019 selain beberapa isu lain berkaitan agenda dan pembangunan Bumiputera.

Tinjauan NSTP mendapati, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Rina Harun adalah jemputan paling awal tiba pada jam 8.30 pagi sebelum kenderaan dinaiki Dr Mahathir tiba 30 minit kemudian.

Turut dilihat adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Kenderaan dinaiki Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah kemudian dilihat tiba pada jam 10.30 pagi sebelum pertemuan dijadual bermula pada jam 11 pagi.

Sementara itu, usaha wartawan untuk mendapatkan intipati pertemuan daripada Menteri dan Timbalan tidak berhasil apabila kenderaan rasmi ahli Kabinet itu hanya hanya berlalu meninggalkan perkarangan YKP pada jam 12.45 tengah hari.

Salahuddin ketika dihubungi wartawan turut enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkannya.

"Saya difahamkan satu kenyataan mengenai kandungan pertemuan ini akan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

"Antara perbincangan kami adalah mengenai proksi-proksi kerajaan dan itu sahaja yang saya boleh maklumkan," katanya.

Sebelum ini, timbul ura-ura kemungkinan akan berlaku rombakan Kabinet tidak lama lagi atau pada Disember ini susulan Perdana Menteri dikatakan kurang berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinetnya.

NSTP difahamkan, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan menteri hari ini, bagaimanapun butiran pertemuan itu tidak diperincikan.

2949 dibaca
Berita Harian X