Selasa, 6 November 2018 | 4:28pm
DR Ahmad Zahid pada Majlis Perjumpaan Khas bersama ahli UMNO Peringkat Negeri Sembilan di Rantau Eco Park Kuala Sawah, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Jangan ganggu ketuanan Melayu - Zahid

REMBAU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu menolak sekeras-kerasnya segala cubaan untuk mengganggu-gugat ketuanan Melayu di negara ini.

Katanya, UMNO turut membantah keputusan kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan menggugat hak dan keistimewaan Melayu, Bumiputera serta institusi diraja.

“Selama lebih 70 tahun UMNO mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan Kerajaan Persekutuan, tiba-tiba mereka mahu menafikan hak ketuanan Melayu dalam Perlembagaan.

“Jangan sekali-kali ganggu Perlembagaan, jangan usik agama Islam, jangan usik Raja-Raja Melayu, jangan ganggu hak orang Melayu dan jangan usik Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Jika agama lain mahu dipraktikkan, teruskan. Tetapi jangan ganggu apa yang ada di dalam Perlembagaan. Kita tidak minta lebih daripada itu dan hanya mempertahankan apa termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya ketika berucap pada program Majlis Bersama Presiden UMNO di Rantau, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO untuk terus bersatu padu bagi menghidupkan semula parti itu.

566 dibaca
Berita Harian X