Ahad, 4 November 2018 | 2:42pm
Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh. - Foto Azhar Ramli

Persatuan penduduk, RT perlu timbang rasa beri kebenaran bina Taska

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon supaya persatuan penduduk dan rukun tetangga (RT) bertimbang rasa memberi kebenaran untuk membina Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di setiap kawasan perumahan di seluruh negara.

Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh berkata, disebabkan keengganan memberi kebenaran atas alasan mengganggu ketenteraman dan masalah lalu lintas menjadi sesak, anggaran 90 peratus Taska tidak berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, masyarakat perlu memahami industri penjagaan kanak-kanak bukanlah suatu yang lumayan dan kebanyakan golongan ibu bapa B40 yang memerlukan khidmat ini.

“Jadi kementerian berpendapat lokasi Taska yang sesuai adalah di kawasan perumahan berbanding di bangunan komersial kerana ia membabitkan kanak-kanak. Masyarakat perlulah ada pemikiran baharu dan buang segala ‘sindrom’ negatif dan fikirkan kebajikan kanak-kanak ini.

“Saya rayu untuk dipertimbangkan mengenai hal ini dan sokong Taska ditempatkan di kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Memperkasakan Remaja bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia, dekat sini, hari ini.

Program dianjurkan oleh Sarina Rhythmic Gymnastics Club (SRGC) dihadiri ibu bapa dan kanak-kanak untuk mendengar dan berkongsi pelbagai maklumat mengenai isu-isu semasa.

Yang turut hadir pengasas SRGC, Sarina Sundara Rajah.

Hannah berkata, apabila masyarakat memahami situasi berkenaan, ia menggalakkan lebih ramai wanita dalam golongan B40 untuk kembali bekerja dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Buat masa ini, kira-kira 54 peratus wanita berada dalam tenaga kerja dan berharap ia akan meningkat kepada 59 peratus menjelang tahun 2020.

“Jika kita tidak boleh menyumbang kepada perkara lain, sumbangan anda sebagai komuniti dalam kebajikan ini sangatlah dialu-alukan,” katanya.

Menyentuh mengenai perkara lain, Hannah berkata, kementeriannya juga sedang berusaha untuk melakukan ujian saringan terhadap mereka yang akan bekerja dengan kanak-kanak seperti penjaga keselamatan, guru dan sebagainya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Pendidikan seks yang sepatutnya juga sedang diperjuangkan, bukan hanya tertakluk kepada guru di sekolah saja, di mana ibu bapa adalah peranan yang besar untuk menjelaskan kepada kanak-kanak mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

“Selain itu, undang-undang perkahwinan di bawah umur 16 tahun juga perlu dilihat semula untuk dinaikkan kepada 18 tahun,” katanya.

Berita Harian X