Sabtu, 3 November 2018 | 8:42pm
TIMBALAN Pengerusi Gerakan TVET, Datuk Ahmad Tajudin Jab. - Arkib NSTP

Cadangan tubuh suruhanjaya tidak praktikal - Gerakan TVET

KUALA LUMPUR: Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Industri bawah Parlimen bagi penyelarasan lebih cekap dalam bidang itu, disifatkan sebagai tidak praktikal, malah mustahil dilaksanakan.

Timbalan Pengerusi Gerakan TVET, Datuk Ahmad Tajudin Jab, berkata cadangan itu pernah cuba dijalankan melalui TVET Malaysia ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, namun gagal berikutan tujuh kementerian memiliki penguasaan penuh dalam pengurusan TVET masing-masing.

Justeru, katanya, yang menjadi persoalan kini ialah keperluan mewujudkan suruhanjaya itu, dan beliau berpendapat penyelarasan lebih sesuai dilakukan bawah Kementerian Pendidikan kerana membabitkan pendidikan serta kemahiran untuk pelajar dalam lingkungan usia remaja.

“Saya tidak bersetuju dengan cadangan menubuhkan suruhanjaya itu kerana apabila perlu dilaporkan kepada Parlimen, bererti akan ada sebuah badan baharu diwujudkan.

“Kerajaan sepatut memfokus penambahbaikan program supaya tidak bertindan serta mengelirukan majikan, dan pada masa sama mengurangkan kos operasi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Malaysia, Nurul Izzah Anwar, sebagai berkata Suruhanjaya TVET dan Industri bawah Parlimen perlu diwujudkan untuk penyelarasan lebih cekap dalam bidang itu.

Beliau berkata, suruhanjaya itu antara lain perlu berfungsi sebagai penggerak utama dalam usaha meningkatkan TVET dengan menyelaraskan tujuh kementerian yang bertanggungjawab, sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga mahir negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Tajudin yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, menyarankan supaya Nurul Izzah mendengar pandangan pelbagai pihak sebelum memutuskan sesuatu perubahan.

Beliau berkata, Gerakan TVET juga sudah menghantar kertas cadangan memperbaiki TVET kepada Nurul Izzah.

“Selain cadangan kementerian sebagai badan yang melaksanakan koordinasi dengan industri, TVET boleh ditambah baik dengan memfokus pelajar menengah atas seperti diamalkan negara jiran lain, termasuk Thailand, Singapura dan Vietnam.

“Semua pensijilan juga harus diselaras dengan lebih baik bagi mengatasi kekeliruan dan pertindihan,” katanya.

123 dibaca
Berita Harian X