Sabtu, 3 November 2018 | 4:22pm
- Foto Hiasan

Subsidi petrol: Cari mekanisme terbaik tentukan individu layak terima

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus mencari mekanisme terbaik bagi menentukan individu yang layak menerima subsidi petrol membabitkan peruntukan RM2 bilion dalam Belanjawan 2019.

Pengarang Urusan Careta Media Sdn Bhd, Hezeri Samsuri, berkata subsidi bagi menjamin kebajikan dan kualiti hidup rakyat itu, bertepatan sasaran untuk mencegah kemiskinan bandar meliputi golongan berpendapatan rendah B40.

“Pada pendapat saya, subsidi itu seelok-eloknya diberikan mengikut pendapatan isi rumah, apatah lagi kenderaan jenama mewah kini banyak yang memiliki kapasiti enjin dengan cc lebih rendah.

“Mekanisme terbabit, sama ada dengan memberi subsidi di stesen minyak ataupun melalui kaedah mengikut pendapatan isi rumah, perlu diperhalusi supaya memenuhi keutamaan untuk golongan sasar,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Belanjawan 2019 dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semalam, memperuntukkan subsidi petrol kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

Guan Eng berkata, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen

seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter untuk motosikal, dan mekanisme baharu itu dijangka bermula pada suku kedua 2019.

Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi tujuan itu dan dijangka memanfaatkan seramai empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya sudah menjangkakan kerajaan akan melaksanakan mekanisme subsidi bersasar yang dianggap memberi banyak manfaat kepada pemilik kereta dan motosikal.

“Subsidi petrol berjumlah 100 liter sebulan adalah sesuatu yang menguntungkan bagi mereka tinggal berdekatan tempat kerja.

“Namun, berdasarkan trend kini, ramai bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di sekitar Nilai, Seremban atau Kuala Selangor. Maka, jumlah 100 liter itu dilihat tidak mencukupi.

“Saya berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menambah jumlah liter petrol itu agar dapat meringankan beban lebih ramai pengguna yang berulang-alik dari luar Kuala Lumpur setiap hari,” katanya.

Penganalisis ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari, pula berkata kerajaan harus ada mekanisme untuk mencapai sasaran membantu golongan B40 secara efektif melalui pemberian subsidi berkenaan.

“Ini kerana subsidi petrol itu dilihat dapat meringankan beban golongan miskin bandar,” katanya.

406 dibaca
Berita Harian X