Sabtu, 3 November 2018 | 12:57pm
GAMBAR fail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (dua kiri) melawat gerai jualan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sambil diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie (kiri) sempena Program Citarasa Malaysia di Tesco Jalan Aerobik, Shah Alam pada Julai lalu. - Foto Muhammad Sulaiman

Dana usahawan Bumiputera mampu tingkatkan perniagaan

BATU PAHAT: Dana pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion yang diumumkan pada Belanjawan 2019 semalam, mampu melonjak perniagaan usahawan Bumiputera.

Dana yang diumumkan termasuk 60 peratus Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM1 bilion untuk PKS Bumiputera.

Pemilik kedai cermin mata, Damai Optometry Centre, Rozalina Ayu Ishak, berkata usahawan Bumiputera lega dengan pengumuman dan peningkatan dana untuk PKS Bumiputera.

“Saya sedang mendapatkan dana bagi menaik taraf kemudahan mesin pemeriksaan mata bernilai RM150,000 dan sudah pasti dana khusus untuk PKS Bumiputera memberi peluang untuk saya mendapatkan mesin itu.

“Diharapkan syarat untuk mendapatkan dana berkenaan tidaklah terlalu ketat seperti sebelum ini dan mengambil kira latar belakang syarikat termasuk yang berjaya mengurus kewangan dengan baik serta mampu berkembang,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Semalam, ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut mengumumkan Permodalan Usahawan Nasional Bhd akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan, peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS Bumiputera.

Sementara itu, pemilik salun kecantikan Muslimah, Onn Hair n Beauty Saloon, Anita Ajlah, berkata pengumuman dana untuk Bumiputera memberi inspirasi kepada usahawan sepertinya supaya terus berusaha gigih meningkatkan perniagaan.

“Sebelum ini, saya hanya menggunakan dana peribadi dan keluarga untuk membuka perniagaan salun dan terus bertahan.

“Namun pertambahan jumlah pelanggan memerlukan premis yang lebih selesa, peralatan dan kemudahan lebih baik.

“Berikutan pengumuman dana Bumiputera dalam belanjawan semalam, saya bercadang membuat permohonan untuk membesarkan salun atau menyewa di kawasan tumpuan ramai,” katanya.

430 dibaca
Berita Harian X