Jumaat, 2 November 2018 | 7:54pm
MAZIIANA Mohd Azhari

Kerjasama dengan NGO tepat pada masa

SHAH ALAM: Inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu komuniti kurang bernasib baik dan terpinggir dianggap tepat pada masanya.

Bagi Al-I’tisam, selaku NGO yang banyak menggerakkan misi kemanusiaan, peruntukan RM10 juta dalam Belanjawan 2019 sekurang-kurangnya memberikan suntikan semangat kepada NGO di negara ini.

Eksekutif Media dan Program Al-I’tisam, Maziiana Mohd Azhari, berkata usaha kerajaan itu dapat meringankan bebanan NGO yang selama ini berdiri atas kaki sendiri bagi mendapatkan sumbangan.

“Dengan adanya kerjasama kerajaan, dana bantuan tidak lagi menjadi masalah kerana kami yakin kerajaan akan membantu menyediakan dana khas.

“Apabila ada sokongan kerajaan, NGO seperti kami tidak risau dengan apa juga program kemanusiaan dan kebajikan yang dilaksanakan kerana ia lebih terjamin.

“Golongan kurang berkemampuan atau komuniti yang terpinggir juga memerlukan sokongan banyak pihak termasuk kerajaan untuk memajukan diri,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Maziiana berkata, kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan itu juga amat bermakna kepada NGO untuk melaksanakan program kemasyarakatan dalam dan luar negara seperti banjir serta bencana alam.

“Kami juga berharap kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan semua NGO di setiap negeri bagi membolehkan usaha ini dilaksanakan dengan berkesan.

“Dengan cara ini, kerajaan dapat melihat sendiri usaha setiap NGO dalam membantu meringankan bebanan insan kurang bernasib baik,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen semalam mengumumkan, Kerajaan Persekutuan akan mengenal pasti dan bekerjasama dengan NGO dan perusahaan sosial untuk menyokong usaha mereka dalam membantu komuniti kurang bernasib baik dan terpinggir.

44 dibaca
Berita Harian X