Khamis, 1 November 2018 | 4:44pm

Anugerah 'Silver Play Button' untuk YouTube Berita Harian Online

KUALA LUMPUR: Saluran YouTube Berita Harian Online yang kini memiliki rekod 109,666 langganan, diiktiraf menerima anugerah ‘Silver Play Button’ oleh laman web perkongsian video itu.

Anugerah itu disampaikan susulan rekod kejayaan saluran YouTube Berita Harian Online mendapat lebih 100,000 langganan, sekali gus menyumbang kepada status antara akhbar berbahasa Melayu yang mempunyai pengikut paling ramai termasuk melalui laman web itu.

Ketua Pegawai Eksekutif YouTube, Susan Wojcicki, melalui surat penghargaan berkata, penganugerahan kepada Berita Harian Online itu adalah atas kerja keras menyalurkan berita dan maklumat kepada pengguna.

“Kami tahu bahawa anda tidak melakukan usaha itu untuk mendapatkan ganjaran. Anda melakukannya kerana semangat untuk berkongsi berita dan menyampaikan maklumat kepada mereka,” katanya.

Sejak menyertai platform media sosial pada Ogos 2014, saluran YouTube Berita Harian Online merekodkan hampir 70 juta tontotan, manakala laman web Berita Harian (BH) kekal di tangga kedua carta pilihan portal berita di Malaysia bagi suku pertama 2018 menerusi kategori berita dan maklumat.

Berdasarkan statistik dikeluarkan firma pengukur dunia digital, ComScore Inc, laman web rasmi BH iaitu www.bharian.com.my merekodkan lebih 10.52 juta pelayar unik sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ia meliputi 1.24 juta yang mengunjungi laman web berkenaan menggunakan komputer dan komputer riba, manakala lebih 9.75 juta lagi menerusi telefon pintar dan tablet.

Bagi laman sosial, saluran Facebook (FB) Berita Harian Online sehingga hari ini mencatatkan lebih 5.2 juta likes, manakala Twitter rasmi BH diikuti lebih 1.2 juta pengikut.

18 dibaca
Berita Harian X