Rabu, 31 Oktober 2018 | 7:06pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pelabuhan Klang sasar 10 kedudukan terbaik dunia

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan berusaha meningkatkan kecekapan operasi di Pelabuhan Klang pada masa depan bagi mencapai sasaran kedudukan 10 pelabuhan terbaik di dunia.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, buat masa ini, Pelabuhan Klang berada pada kedudukan ke-12 terbaik dunia dari segi jumlah kendalian kontena.

Beliau berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai sekiranya aspek kecekapan dititikberatkan selain mempercepatkan proses pelepasan keluar dan penerimaan kargo di pelabuhan berkenaan pada masa depan.

“Pelabuhan Klang berada di lokasi strategik kerana berada di tengah-tengah Selat Melaka, namun syarikat perkapalan asing tetap memilih Singapura memandangkan mereka memiliki tahap kendalian kargo yang cekap.

“Saya difahamkan ada 28 agensi beroperasi untuk mengendalikan pelepasan kargo. Justeru, kami akan memperkenalkan agensi tunggal untuk melancarkan proses berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Bersama Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) Yang Pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, beliau juga mahu kecekapan pelabuhan lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas; Pulau Pinang; Kuantan; Kemaman; Bintulu dan pelabuhan negeri ditingkatkan sama bagi mencapai potensi yang diperlukan.

Siew Fook berkata, pelabuhan berkenaan adalah aset strategik negara dan pihaknya kini bekerja keras untuk memastikan aset berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya dari segi potensi dan kecekapan.

Menurutnya, Majlis Bersama Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) juga akan memastikan aspek kecekapan ditingkatkan di pelabuhan negara selain merancakkan sektor perkapalan domestik.

“Sektor ini banyak menawarkan peluang pekerjaan, namun potensinya belum dioptimumkan malah, masih banyak ruang boleh dikembangkan khususnya dari segi industri hiliran,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, NSPC juga akan membantu kementerian mengenal pasti undang-undang dan ordinan berkaitan maritim untuk dipinda.

Menurutnya, banyak undang-undang berkaitan maritim perlu dipinda seiring dengan perubahan zaman dan masa.

Berita Harian X