Selasa, 30 Oktober 2018 | 7:34pm
KETUA Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Nizham Abdullah Hamidi. - Foto Rosela Ismail

Ketuanan Melayu bukan menidakkan hak kaum lain

KUALA LUMPUR: Ketuanan Melayu dilihat sebagai elemen Melayu di dalam Perlembagaan dan bukannya menidakkan hak kaum lain sebagai warganegara Malaysia.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Nizham Abdullah Hamidi, berkata ahli sejarah menjelaskan istilah ketuanan dari sudut bahasa dan budaya mengenai kaitan asal-usul negara ini dengan raja-raja Melayu.

Jadi, katanya, apabila menyebut mahu mengakhiri ketuanan Melayu, memang perlu hati-hati.

“Cakap biar terang. Bimbang disalah erti. Kalau hendak mengata pemimpin dulu gagal bawa Bumiputera pada kedudukan sepatutnya, cakap lurus sahaja daripada sekali lagi beretorik dengan istilah ketuanan Melayu.

“Cuma, jangan hanya pandai menuding. Ramai menunggu perancangan dan dasar baharu untuk Bumiputera.

“Perkara 153 Perlembagaan mengenai hak istimewa Melayu perlu disusuli dengan tindakan afirmatif berterusan oleh siapa pun yang jadi kerajaan bagi memberi makna kepada peruntukan itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab polemik yang dicetuskan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abd Rahman apabila mengeluarkan kenyataan mengenai zaman ketuanan Melayu telah berakhir dan Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan.

Mohd Nizham berkata, ketuanan Melayu, istilah itu tidak pernah wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, hanya ada, perkataan Melayu dan ia disebut lebih 90 kali dalam Perlembagaan (termasuk perkataan Tanah Melayu).

“Selain Melayu, yang disebut dalam dokumen tertinggi negara itu kalau mengenai kaum ialah Bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli. Lain daripada itu, dirujuk sebagai kaum-kaum lain.

“Oleh itu, mana datangnya istilah ketuanan Melayu yang disebut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman? Mungkin asalnya dari orang politik, bila untung dijaja, jika rugi dicemuh dan akhirnya istilah itu terus menjadi polemik,” katanya

Beliau berkata, dalam perihal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152, maka setiap perbuatan dan dasar harus memaparkan kedudukan bahasa Melayu mengikut Perlembagaan, jika tidak apa maknanya.

“Soal Melayu pastinya tidak sempurna jika tidak bertunjangkan agama. Inilah yang disebut dalam Perlembagaan hingga agama bagi orang Melayu di Malaysia ditakrifkan hanya satu iaitu Islam yang juga agama bagi Persekutuan.

“Agama Persekutuan menerusi Perkara 3 (1) itu luas maknanya, walau ada cuba mengasak seolah-olah ia hanya sekadar bacaan doa di awal majlis kerajaan.

“Malah, Perkara 11 (4) memberi kuasa perundangan menghalang penyebaran kepercayaan lain ke atas orang Islam,” katanya.

450 dibaca
Berita Harian X