Selasa, 30 Oktober 2018 | 3:01pm
SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. - Foto Eizairi Shamsudin

Menteri, timbalan menteri perlu hadir jawab soalan

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, membuat ketetapan menteri atau timbalan menteri perlu hadir pada sesi soal jawab di Parlimen.

Beliau berkata, Peraturan Mesyuarat 21 menetapkan sebarang pertanyaan perlu dijawab oleh menteri atau timbalan menteri bertanggungjawab.

“Peraturan Mesyuarat 21 sudah menetapkan sebarang pertanyaan perlu dijawab oleh menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab dengan hal jawatan urusan.

“Justeru, mereka perlu hadir bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan,” katanya ketika membacakan keputusan itu sejurus persidangan Dewan Rakyat bersambung selepas rehat, hari ini.

Ketetapan itu dibuat susulan kekecohan sidang Dewan Rakyat pada 25 Oktober lalu apabila wakil pembangkang mempertikaikan ketiadaan wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjawab soalan.

Kekecohan bermula apabila wakil pembangkang tidak puas hati kerana Menteri Dalam Negeri dan timbalannya tiada dalam Dewan untuk menjawab soalan nombor 13 daripada Ali Biju (PH-PKR Seratok).

Ali meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah status dan perancangan pihak KDN dengan keperluan pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Saratok baharu bagi menggantikan IPD sekarang yang beroperasi sejak 1954.

Soalan asal itu dijawab Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, mewakili KDN.

Wakil pembangkang tidak puas hati apabila Mohd Radzi gagal menjawab soalan tambahan Ali dengan menjanjikan jawapan bertulis.

Ia menyebabkan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat mempertikaikan tindakan itu.

Berita Harian X