Ahad, 28 Oktober 2018 | 4:10pm
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri. - Foto NSTP

Bajet 2019: M40 sepatutnya turut dapat perhatian

KUALA LUMPUR: Kerajaan terdahulu sehingga kerajaan baharu lebih fokus kepada golongan isi rumah berpendapatan B40 daripada M40 yang sepatutnya turut mendapat perhatian sewajarnya.

Menurut Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, kerajaan perlu turut memberi tumpuan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan M40 (RM3,860 hingga RM8,319) agar dengan kos sara hidup harian tidak membuatkan mereka nanti akan tergolong dalam B40.

Dr Fazli berkata, pada pembentangan Bajet 2019 pada 2 November ini, kerajaan perlu memberi penekanan kepada keperluan asas rakyat iaitu makanan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan.

“Ia bukanlah perkara baru tetapi isu berkenaan tidak pernah selesai dengan kos sara hidup yang tinggi dan meskipun kerajaan membina Rumah Mampu Milik PR1MA tetapi rakyat B40 dan M40 tetap tidak mampu untuk memilikinya.

“Dari segi pengangkutan awam, kerajaan semakin menambah baik.

“Hakikatnya, semua peringkat kumpulan pendapatan terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang yang sangat mencabar. Justeru, setiap faedah yang B40 dapat, kalau boleh dipanjangkan juga kepada golongan M40 tetapi lebih bersifat selektif agar kumpulan sasaran yang benar-benar layak saya mendapat faedah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kata Dr Fazli, kerajaan mesti ada satu mekanisme dan menyediakan pangkalan data pendapatan setiap isi rumah supaya yang layak saja mendapat kemudahan disediakan kerajaan. Tanpa pangkalan data, perkara itu sukar untuk dilaksanakan.

Dr Fazli berkata, ketika beliau menuntut di luar negara, di sana mereka yang layak menerima bantuan menerusi pangkalan data kerajaan, diberi sekeping kad ‘Electronic Benefit Transfer’ di mana kerajaan akan memasukkan sejumlah wang bantuan ke dalam kad itu dan mereka boleh pergi ke kedai tertentu untuk membeli barang keperluan asas sahaja terutama makanan.

“Dalam perbelanjaan setiap isi rumah, sebahagian besar wang diperuntukkan untuk membeli makanan dan barulah dibelanjakan untuk pengangkutan, rumah dan sebagainya.

“Rakyat sangat berharap ada peningkatan gaji tetapi apabila melihatkan situasi hari ini, perkara itu sukar ditunaikan dan apa yang kerajaan boleh lakukan ialah menurunkan harga barangan dan harga rumah.

Dr Fazli juga amat menyokong kedai rakyat yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sekarang kedai rakyat diberi penjenamaan baru dan semoga ia dapat diteruskan untuk meringankan beban rakyat. Sukar untuk menaikkan gaji, kerajaan boleh menyediakan kemudahan dan keperluan asas pada harga yang berpatutan termasuk juga untuk kesihatan.

“Pihak kerajaan, hospital dan syarikat insurans mungkin boleh fikirkan satu mekanisme yang membolehkan rakyat negara ini terutama kumpulan B40 dan M40 mempunyai insurans kesihatan. Syarikat insurans jangan terlalu memikirkan keuntungan.

“Rakyat perlu ada skim perlindungan khas kerana orang ramai hari ini terdedah kepada pelbagai jenis penyakit,” katanya.

Berita Harian X