Sabtu, 27 Oktober 2018 | 6:31pm
MUHYIDDIN berucap pada majlis ramah mesra di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat Pagoh, hari ini. - Ihsan FB Muhyiddin Yassin

Ahli Parlimen UMNO jumpa saya - Muhyiddin

PAGOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan beberapa Ahli Parlimen UMNO menemuinya bagi mendapatkan pandangan politik semasa, selain meneliti hala tuju parti berkenaan.

Bagaimanapun Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, enggan mengesahkan berapa ramai Ahli Parlimen UMNO yang berbuat demikian dan hanya berseloroh mengira dengan jari apabila ditanya pemberita.

“Ya mereka (Ahli Parlimen UMNO) ada datang berjumpa saya bertanyakan pandangan mengenai politik dan hala tuju BERSATU namun mereka belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai BERSATU atau sebaliknya.

“Kita seperti awal-awal dulu, terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat termasuk dari UMNO sama ada mereka yang berjawatan atau ahli biasa jika mahu menyertai BERSATU.

“Walaupun dalam kalangan mereka (Ahli Parlimen UMNO) ada beberapa yang berjumpa dengan saya tapi saya tak boleh sebut namanya, (mereka) berjumpa saya untuk mendapatkan pandangan mengenai keadaan politik semasa dan dasar parti,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Dr Ir Faizul Amri Adnan; ADUN Tangkak, Ee Chin Li dan Pengarah Media BERSATU Johor, Solihan Badri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, apa yang penting jika mereka sertai BERSATU, penyertaan mereka akan menguatkan lagi parti dan perjuangan.

“Ia juga akan mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana itulah yang menjadi keutamaan kita,” katanya.

Ditanya siapa antara Ahli Parlimen UMNO yang menemuinya, Muhyiddin hanya tersenyum tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Sesiapa sahaja yang mahu menerima dasar perjuangan kita, amat dialu-alukan menyertai mana-mana komponen PH termasuk BERSATU dan terserah kepada mereka membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau yakin Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed ikhlas menyertai BERSATU dan tiada apa-apa hasrat termasuk mahukan jawatan tertentu dalam parti.

“Mustapa membuat keputusan berkenaan kerana yakin dengan parti selain mahu menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau awal-awal lagi ketika berjumpa saya menyatakan tiada hajat apa-apa kecuali bersedia memberikan apa sahaja demi mengukuhkan BERSATU,” katanya.

224 dibaca
Berita Harian X