Jumaat, 26 Oktober 2018 | 8:42pm
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi. - Foto Hafiz Sohaimi

VMY2020 sasar 30 juta pelancong, jana pendapatan RM100 bilion

PUTRAJAYA: Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong ke Malaysia dan menjana pendapatan bernilai RM100 bilion daripada industri pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Untuk itu, katanya pihaknya sedang mempergiat pemerkasaan kerjasama dengan pemain industri pelancongan tempatan dalam membangunkan pelancongan yang menarik dengan tawaran harga yang berpatutan kepada semua segmen pasaran.

Katanya, semua usaha yang sedang digerakkan terbabit memerlukan jumlah kewangan besar kerana misi mengangkat Malaysia sebagai sebuah destinasi pilihan masyarakat dunia adalah satu tugas besar.

“Di pihak kementerian, saya melihat perlunya jumlah bajet yang besar diperuntukkan bagi merealisasikan impian itu.

“Sebab itu saya sebelum ini ada mencadangkan agar Cukai Pelancongan diletakkan di bawah kementerian ini kerana saya yakin ia boleh melancarkan lagi tujuan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain menjalinkan usaha sama dengan syarikat penerbangan bagi menawarkan pakej bersesuaian dengan harga berpatutan, Mohamaddin berkata, pihaknya juga mengadakan kolaborasi dengan pusat membeli belah utama untuk menarik pelawat asing memilih Malaysia sebagai pilihan utama percutian.

“Kami juga bekerjasama dengan enjin carian seperti Google, Weibo dan WeChat bagi pasaran China dan ejen pelancongan dalam talian seperti Booking.com, Traveloka dan Expedia bagi memastikan Malaysia sebagai ‘top of the mind destination,” katanya.

Mohamaddin berkata, kementerian juga sedang giat menggalakkan pembangunan produk pelancongan baharu dan unik seperti The Habitat Penang Hill, Escape Theme Park Penang, Desaru Coast Malaysia, Encore Melaka Impression Series dan 20th Centre Fox World Malaysia Genting.

Mengulas pandangan Pengerusi Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) Datuk Garry Chua, Mohamaddin berkata melalui produk pelancongan baharu yang bakal siap tahun hadapan, serta pemasaran dan peningkatan kesalinghubungan, lebih ramai pelancong dari China akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.

Chua dilaporkan berkata, agar kerajaan tidak mengambil mudah kemasukan pelancong dari China yang berbelanja besar di seluruh dunia dengan jumlah kutipan perbelanjaan dianggarkan hampir AS$260 bilion.– BERNAMA

Berita Harian X