Khamis, 25 Oktober 2018 | 6:21pm
Ariapandaram Thanapackiam, 88, mencium sijil kelulusan kewarganegaraan setelah menerimanya daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) pada majlis penyampaian sijil kewarganegaraan itu di Jabatan Pendaftaran Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Lebih 55,000 pemohon sijil kewarganegaraan diteliti

PUTRAJAYA: Kerajaan kini dalam proses meneliti lebih 55,000 rayuan dan permohonan daripada individu yang ingin mendapatkan sijil kewarganegaraan membabitkan pelbagai peringkat rayuan serta kes.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua senarai permohonan itu dalam proses penilaian dan ia dilakukan sepanjang masa.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima banyak rayuan daripada pelbagai peringkat permohonan termasuk sijil kewarganegaraan, kad merah dan kategori taraf warganegara bagi anak-anak.

“Jumlah permohonan agak ramai, namun jika layak dan mematuhi syarat ditetapkan, maka mereka akan diberi kelulusan.

“Secara keseluruhannya, JPN menerima sejumlah 3,853 permohonan kewarganegaraan daripada individu berketurunan India tahun ini. Ini termasuk 1,667 permohonan daripada individu yang berusia 60 tahun ke atas.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 1,641 individu menepati semua syarat yang ditetapkan dan permohonan kerakyatan mereka sudah diluluskan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Kewarganegaraan di sini, hari ini.

Pada majlis sama, lebih 200 penerima menerima sijil kewarganegaraan masing-masing.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Beliau berkata, , kelulusan permohonan itu diberikan selaras memenuhi janji dibuat dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) di mana kelulusan akan diberikan kepada warganegara yang layak serta diberi pertimbangan atas dasar mereka lebih lama berada di negara ini selain berkelakuan baik dan menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Sementara itu, seorang penerima sijil kewarganegaraan, R Muniamah, 86, dari Desa Mentari, Subang berkata, dia bersyukur kerana diberi kerakyatan negara ini selepas hampir 20 kali memohon.

Menurutnya, beliau dibawa oleh ibu bapanya ke Tanah Melayu pada 1948 ketika masih bayi bersama dua kakak dan seorang abang sebelum menetap di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

“Saya akui susah untuk memohon pekerjaan, malah terpaksa berniaga menjual barang-barang serta peralatan sembahyang di kuil. Sebelum ini, saya pernah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun bantuan itu dihentikan beberapa tahun lalu.

“Saya akan memohon semula bantuan itu selepas menerima MyKad nanti,” katanya.

Selain itu, seorang lagi penerima warga emas, S Thanapakkom, 103, berkata, dia dilahirkan di Tanjung Malim, Perak dan ibu bapanya pula berasal dari India.

“Pada awalnya, saya diberikan kad pengenalan kerakyatan negara ini, namun saya memohon semula kad pengenalan baru kerana kesilapan mendaftar nama bapa.

“Bagaimanapun, ketika permohonan semula itu, saya diberikan kad merah sehinggalah saya memohon semula MyKad pada 2015 kerana ingin mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, V Thannkkodi, 57, kepada media memandangkan Thanapakkom mengalami masalah pendengaran.

Berita Harian X