Khamis, 25 Oktober 2018 | 5:55pm
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang media ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-14 di Parlimen, semalam.
 - Foto BERNAMA

Gaji, elaun pengurusan GLC ditetap pada kadar munasabah

KUALA LUMPUR: Gaji dan elaun pengurusan tertinggi serta ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kini ditetapkan pada satu kadar yang lebih munasabah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perubahan itu sudah mula dilaksanakan kerajaan sejak beberapa bulan yang lalu, seiring keputusan untuk membebaskan GLC daripada pengaruh politik.

“Kerajaan mahu gaji dan elaun kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi GLC pada kadar yang munasabah dan berpatutan.

“Kita tidak boleh membiarkan pendapatan yang terlalu tinggi diberikan kepada mereka yang menerajui GLC, yang dimiliki kerajaan. Ini sudah dibuat sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula bayaran gaji dan elaun kepada pengurusan tertinggi GLC, susulan pendedahan berhubung pendapatan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar sepanjang beliau berkhidmat di Perbendaharaan antara Januari 2011 hingga Jun 2018 adalah sebanyak RM6.74 juta.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata sebanyak RM2.94 juta adalah gaji, manakala RM3.8 juta pula pendapatan Mohd Irwan sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi 2012 hingga Jun 2018.

Jumlah gaji itu ialah yang diterima Mohd Irwan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dalam tempoh itu.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan mungkin menurunkan gaji peneraju di GLC bagi merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara ahli parlimen dan sektor swasta.

Ditanya sama ada pelantikan pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah bagi menggantikan ahli politik dalam GLC sudah selesai, Mohamed Azmin berkata, kebanyakan keahlian GLC sudah disemak.

“Lihat pada Tabung Haji dan FELDA. Kami sudah menyingkirkan semua ahli politik dan menggantikan mereka dengan golongan profesional untuk mentadbir dan menguruskan GLC ini,” katanya.

41 dibaca
Berita Harian X