Khamis, 25 Oktober 2018 | 3:47pm
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Penyakit mental masalah kesihatan kedua

SHAH ALAM: Kajian mendapati penyakit mental akan menjadi masalah kesihatan kedua utama selepas penyakit jantung menjelang 2020, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Beliau berkata, statistik terkini turut menunjukkan seorang daripada rakyat berusia 16 tahun ke atas di negara ini mengalami masalah penyakit mental.

“Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan isu penyakit mental dalam kalangan rakyat semakin membimbangkan.

“Penyakit mental boleh dikategorikan sebagai derita dalam senyap yang akan menjejaskan kesejahteraan insan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua kaunselor pendidikan supaya melihat semula program pembangunan, pencegahan, pemulihan dan krisis membabitkan organisasi masing-masing,” katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Kaunselor Pendidikan Peringkat Kebangsaan anjuran Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan di Dewan Canselor Management Science University (MSU) di sini, hari ini.

Nie Ching berkata, pendekatan kaunseling konvensional perlu mempunyai nilai tambah seiring dengan perkembangan teknologi serta cabaran dunia ketika ini.

“Selain itu, kualiti serta kredibiliti kaunselor pendidikan perlu dijaga serta sentiasa berada pada tahap tinggi demi membina kepercayaan klien.

“Malah, masyarakat kini sudah terbuka minda dan lebih memahami aspek perundangan.

“Mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang dirasai tidak melaksanakan tugas dengan betul,” katanya.

Berita Harian X