Rabu, 24 Oktober 2018 | 6:54pm

Jawatankuasa siasat kes lemas anggota bomba mesyuarat minggu depan

PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden enam anggota bomba yang maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, awal bulan ini akan mula bermesyuarat minggu depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata jawatankuasa khas itu dipengerusikan golongan profesional termasuk kalangan ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita sudah membentuk satu jawatankuasa bebas dan dari mesyuarat itu, mereka akan memberikan laporan mengenai kejadian berkenaan. Mengenai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, mereka (mangsa) ini sudah terlatih semuanya.

“Cuma jawatankuasa yang kita bentuk ini akan memperbaiki atau mengambil kira mengenai misi akan datang. Sekiranya ada SOP yang perlu ditambah baik, kita akan buat. Semua ini bergantung kepada hasil mesyuarat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Penghargaan Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di ibu pejabat JBPM, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3 Oktober lalu, enam anggota bomba iaitu empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam, lemas ketika operasi cari dan selamat seorang remaja, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, yang hilang di lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong.

Kawasan berkenaan adalah tempat kawalan air banjir tasik dan terjunan air.

Sementara itu, mengenai majlis berkenaan, Zuraida berkata, ia diadakan untuk menzahirkan ucapan takziah dan penghargaan kepada waris enam anggota berkenaan.

Pada majlis itu, Zuraida turut menyampaikan sumbangan orang ramai yang diterima oleh JBPM melalui Tabung Wira Merah.

Tabung berkenaan menerima banyak sumbangan daripada orang perseorangan, agensi kerajaan, syarikat swasta serta pesara bomba.

27 dibaca
ZURAIDA pada sidang media selepas Majlis Penghargaan dan Sumbangan kepada Wira Merah JBPM di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X