Rabu, 24 Oktober 2018 | 6:53pm
ZURAIDA mendukung anak Allahyarham Adnan Othman, Aliyah Maisarah, 2, dan turut bersama isteri Allahyarham, Shahmiza Salleh (kiri) selepas Majlis Penghargaan dan Sumbangan kepada Wira Merah JBPM di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Rindu ayah bila ternampak bomba

PUTRAJAYA: “Nak ayah... nak ayah,” itu ayat pertama disebut Muhamad Meqa Al Asyraf sebaik melihat anggota atau pegawai memakai uniform (pakaian seragam) bomba.

Muhamad Meqa ialah anak bongsu kepada Allahyarham Mohd Fatah Hashim, seorang daripada enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 3 Oktober lalu.

Isteri Mohd Fatah, Noor Nadia Kamaludin, 29, berkata, anak bongsunya itu sering mencari dan menangis kerana tidak lagi dapat melihat bapanya.

Menurutnya, anaknya itu memang rapat dengan bapanya, yang juga anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dan sering dibawa ke balai.

“Dekat rumah lagi dia (Muhamad Meqa) menangis nak ayahnya apabila melihat van bomba atau uniform berkaitan pekerjaan itu manakala kakaknya pula selalu mengelak sebaik saja nampak benda yang berkaitan bomba.

“Pernah sekali selepas kejadian itu, saya dan anak-anak pulang ke rumah di Pelabuhan Klang dan anak pertama saya tidak dapat tidur, kira-kira jam empat pagi dia terjaga lalu duduk di tepi katil memanggil ayahnya.

“Saya pujuk dia, kata ayah dah tiada, kakak kena duduk dengan ibu. Itu saja yang saya boleh katakan kepadanya kerana dia masih kecil dan mungkin belum faham apa yang terjadi,” katanya.

Noor Nadia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Ibu Pejabat JBPM di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Noor Nadia menerima sumbangan RM289,027 iaitu manfaat insurans dan kebajikan jabatan serta persatuan pernah disertai suaminya, yang diserahkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Mohamad Hamdan Wahid.

Noor Nadia berkata, kematian suaminya itu begitu dirasai, apatah lagi arwah sebelum ini melakukan semua urusan berkaitan rumah dan menguruskan anak-anak.

“Arwah yang mandikan anak-anak, kemas rumah serta menyediakan semuanya kerana saya mempunyai penyakit tyroid dan tidak boleh melakukan kerja berat kerana cepat letih.

“Kini kami sekeluarga dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Mungkin selepas ini, saya perlu mencari kerja yang bersesuaian supaya dapat menampung perbelanjaan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Pada majlis yang sama, Zuraida turut menyampaikan sumbangan daripada Tabung Wira Merah kepada lima lagi pewaris anggota PPDA yang terkorban semasa menjalankan tugas SAR itu.

Selain itu, turut diumumkan kesemua enam anggota PPDA yang terkorban dinaikkan pangkat secara ‘posthumous’ dari Gred KB19 ke KB22.

Suasana pilu menyelubungi Dewan Sutera apabila video montaj ketika upacara pengebumian jenazah enam anggota PPDA yang terkorban disiarkan dengan waris dan anggota bomba dilihat menitiskan air mata.

Sementara itu, pada sidang media, Zuraida berkata setiap pewaris menerima manfaat insurans dan kebajikan dari jabatan dan persatuan berkaitan berjumlah antara RM164,000 hingga RM289,000.

“Selain itu, kerajaan persekutuan juga akan menyumbangkan RM20,000 kepada setiap keluarga. Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga akan menyumbang RM20,000,” katanya.

Tambah beliau, jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada 8 Oktober lalu bagi menyiasat tragedi itu akan mula bermesyuarat minggu depan dengan matlamat meneliti dan mengkaji prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota bomba PPDA untuk ditambah baik supaya insiden sama tidak berulang.

80 dibaca
Berita Harian X