Rabu, 24 Oktober 2018 | 6:26pm
MUSTAFA Khan (tengah) bersama pelajar SJKC Kampung Baru Ampang pada Program Pencegahan Jenayah Sekolah Cina Zon Ampang hari ini. - Foto BERNAMA

1,440 kes jenayah babit pelajar sekolah tahun lalu

AMPANG: Sebanyak 1,440 kes jenayah membabitkan pelbagai kesalahan oleh pelajar sekolah direkodkan di seluruh negara tahun lalu, meningkat berbanding 1,302 pada 2016.

Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat, berkata kes berkenaan meliputi jenayah bunuh, rogol, mendatangkan kecederaan, mencuri, curi kenderaan, ragut dan pecah rumah.

Di daerah Ampang, beliau berkata, seramai 77 pelajar sekolah menengah dan kolej ditahan, tahun lalu, membabitkan kes jenayah serta narkotik.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 64 pelajar sekolah menengah dan kolej, termasuk dua perempuan yang terbabit dalam kes jenayah ditahan di daerah ini, manakala 13 lagi meliputi seorang perempuan ditahan atas kesalahan narkotik.

“Bagi tempoh Januari hingga September lalu, seramai 45 pelajar sekolah menengah dan kolej, termasuk seorang perempuan ditahan di daerah ini atas kesalahan jenayah, manakala tiga lagi pelajar lelaki ditahan membabitkan kes narkotik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah Sekolah Cina Zon Ampang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Ampang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa Khan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan Pegawai Perhubungan Sekolah di setiap sekolah dalam usaha mencegah dan mengurangkan jenayah.

“Selain itu, PDRM bekerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia melalui penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah pada peringkat sekolah bagi membendung aktiviti tidak bermoral, selain kegiatan jenayah.

“Melalui inisiatif dengan kerjasama pihak sekolah dan komuniti ini, kegiatan jenayah dapat dibendung membabitkan golongan remaja yang mudah terdedah pelbagai pengaruh negatif,” katanya.

82 dibaca
Berita Harian X