Rabu, 24 Oktober 2018 | 1:48pm
TUN Dr Mahathir Mohamad, tiba di Bangkok untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke Thailand, hari ini. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir tiba di Bangkok untuk lawatan rasmi

BANGKOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba di Bangkok untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke Thailand, hari ini.

Dr Mahathir yang dalam lawatan rasmi pertama beliau ke sini sejak menjadi perdana menteri untuk kali kedua, tiba dengan pesawat khas di Terminal 2, Tentera Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Beliau disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Somkid Jatusripitak, yang mewakili kerajaan Thailand.

Turut menyambut ketibaan beliau ialah Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; dan Atase Pertahanan Kedutaan Malaysia di Bangkok, Brig Jen, Baharuddin Ahmad.

Mengiringi Dr Mahathir ialah, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Penyelaras Rundingan Damai Selatan Thailand, Tan Sri Rahim Mohd Noor; dan pegawai kanan kerajaan.

Kali terakhir Dr Mahathir melawat Bangkok sebagai Perdana Menteri ialah pada 2003.

Sementara itu, Perdana Menteri mempunyai jadual lawatan padat pada hari pertama lawatannya, bermula dengan beberapa siri temuramah dengan media asing termasuk televisyen Thailand dan televisyen Jepun, Asahi Shimbun.

Sambutan rasmi menunggu Dr Mahathir di Rumah Kerajaan, di mana beliau dan rakan sejawatan, Jeneral Prayut Chan-o-cha, akan memeriksa perbarisan kehormat.

Dr Mahathir and Prayut kemudian akan mengadakan mesyuarat tertutup, diikuti mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan Thailand.

Antara isu dijangka dibincangkan ialah perdagangan, ekonomi, keselamatan dan hal ehwal berkaitan ASEAN.

Kedua-dua perdana menteri juga dijangka menyentuh mengenai perkembangan terkini rundingan damai Selatan Thailand yang mana Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator.

Kedua-dua pemimpin akan mengadakan sidang akhbar bersama, selepas mesyuarat itu.

Pada sebelah petang, Dr Mahathir, isteri dan delegasi Malaysia akan menghadiri makan malam di Rumah Kerajaan yang dihoskan oleh Prayut dan isteri, Naraporn Chan-o-cha.

Berita Harian X