Rabu, 24 Oktober 2018 | 1:07pm
(DARI kiri) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Koordinator Residen PBB di Malaysia, Stefan Priesner hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-73, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu negara, hari ini. - Foto Rosela Ismail

117 akta akan dimansuh, dipinda, diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memansuh, memperkenal serta meminda kira-kira 117 akta sebagai langkah reformasi undang-undang di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata ia turut membabitkan Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Akta Universiti dan Kolej Universiti ( AUKU) 1971.

“Keputusan muktamad jumlah akta yang bakal dimansuh, dipinda atau diperkenalkan bagaimanapun akan dimaklumkan kemudian selepas kami mengadakan mesyuarat hari ini.

“Langkah itu adalah bukti komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk mereformasikan undang-undang demi kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-73, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Koordinator Residen PBB di Malaysia, Stefan Priesner.

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, kerajaan juga akan mengkaji undang-undang baharu yang sesuai untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 bagi menjaga kedaulatan institusi raja-raja di negara ini.

Katanya, langkah itu perlu bagi melindungi institusi raja-raja supaya tidak dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, beliau berkata rakyat juga bebas untuk mengkritik kerajaan, kritik tindakan, dasar atau bagaimana sesuatu itu dikendalikan tetapi jangan melebihi batasan hingga mencemar nama baik seseorang individu.

“Menteri juga misalnya, boleh ditegur atau dikritik namun tidak seharusnya mengaitkan dengan soal peribadi hingga menjejaskan nama baik beliau,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Yayasan MyKasih; bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Unit Ozon Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dipilih menerima Anugerah PBB 2018 yang disampaikan oleh Vui Keong

Ia bagi menghargai sumbangan mereka terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Berita Harian X