Isnin, 22 Oktober 2018 | 7:48pm
SHAHIDAN Kassim (kiri) dan RSN Rayer.

Panas isu perkauman, 2 wakil rakyat perang mulut

KUALA LUMPUR: Perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 panas seketika apabila penyokong kerajaan dan pembangkang bertikam lidah berkaitan isu perkauman.

Pertikaman lidah itu membabitkan RSN Rayer (PH-DAP-Jelutong) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-UMNO-Arau) yang saling tuduh-menuduh terhadap lawan masing-masing berkaitan isu berkenaan.

Shahidan ketika membahaskan usul berkenaan mendakwa DAP menjadi pencetus kepada tragedi 13 Mei 1969.

Rayer yang terkenal dengan serangan pedas terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) bingkas bangun meminta Shahidan menarik balik tuduhan itu.

“Saya minta Arau tarik balik kenyataan itu. Ia kenyataan serius melanggar peraturan. Saya minta tarik balik kerana kalau tidak ditarik balik nanti dalam ‘hansard’ akan tunjukkan kami tidak bantah.

“Mengatakan DAP penyebab tercetusnya krisis 13 Mei adalah satu tuduhan serius. Itu tidak betul,” katanya.

Shahidan mempertahankan kenyataannya yang didakwa ada dalam sejarah dan pada masa sama mahu Rayer juga menarik balik kenyataannya mendakwa UMNO dan BN parti rasis pada awal sidang hari ini.

Sebaliknya, Rayer memberi alasan, beliau berkata demikian sebagai merujuk program perhimpunan Melayu anjuran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO-Pasir Salak) yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman ketika ucapan.

Perang mulut yang berterusan mengundang campur tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang meminta kedua-dua wakil rakyat itu menarik balik dakwaan masing-masing.

Pertikaian kedua-dua Ahli Parlimen berterusan apabila Shahidan menarik balik kenyataan itu tetapi menegaskan ia tetap menjadi sejarah negara.

“Saya tarik balik tetapi yang sejarah biar menjadi sejarah,” kata Shahidan.

Rayer tidak berpuas hati kerana mendakwa Shahidan tidak ikhlas dan penarikan balik dakwaan itu tidak menyeluruh.

Tan Sri Noh Omar (BN-UMNO-Tanjong Karang) mencelah dan meminta Shahidan serta Rayer merujuk kepada Arkib Negara bagi mencari pengesahan adakah benar atau tidak DAP menjadi pencetus tragedi 13 Mei 1969.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff mengarahkan Shahidan dan Rayer menarik balik kenyataan mereka berdua demi kebaikan kedua-dua pihak yang mana mereka akur.

312 dibaca
Berita Harian X