Khamis, 18 Oktober 2018 | 8:15pm
KAWASAN kafeteria di Bangunan Parlimen telah diumumkan sebagai tempat larangan merokok. - Foto Asyraf Hamzah

Larangan merokok dalam Parlimen kekal

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan menarik balik keputusan pembatalan bilik merokok dalam Parlimen yang dikuatkuasakan Isnin lalu.

Keputusan itu selaras dengan Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC WHO), iaitu melindungi bukan perokok daripada bahaya asap rokok dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penguatkuasaan peraturan itu membuktikan bahawa tindakan melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini.

Dalam kunjungan hormat Dr Dzulkefly ke atas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pagi tadi, larangan merokok di Parlimen antara perkara diperbincangkan.

Kunjungan hormat itu turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Ketua Unit Kawalan Tembakau KKM, Dr Nor Aryana Hassan dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli.

Dr Dzulkefly berkata, menerusi pertemuan itu, mesyuarat turut bersetuju menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan Parlimen sehingga satu ruang merokok alternatif tetap disediakan di luar bangunan Parlimen.

Sementara itu dalam usaha mencapai sasaran ‘sifar rokok’ dalam bangunan Parlimen dan kafeteria di dalam premis Parlimen, beliau berkata kementerian dengan kerjasama rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok, mQuit akan menyediakan perkhidmatan rawatan berhenti merokok menerusi penawaran rawatan ubatan permulaan di ruang legar bangunan parlimen.

Katanya, perkhidmatan saringan nafas CO dan fungsi paru-paru turut ditawarkan secara percuma.

Larangan merokok dikuatkuasakan dalam bangunan Parlimen bermula Isnin lalu.

Inisiatif berkenaan bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Bagaimanapun ia menimbulkan persoalan apabila larangan berkenaan tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh Dr Dzulkefly kepada Mohamad Ariff.

Berikutan penguatkuasaan itu, seorang Ahli Parlimen adalah antara lapan individu dikompaun kerana merokok di Parlimen, yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

185 dibaca
Berita Harian X