Khamis, 18 Oktober 2018 | 6:59pm
TUN Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan) memegang buku Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pinda Perlembagaan Persekutuan untuk had tempoh jawatan PM, MB, KM

KUALA LUMPUR: Langkah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal memerlukan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beberapa perkara dalam Perlembagaan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum ia laksanakan.

“Ia membabitkan Perlembagaan Persekutuan... kita ada beberapa perkara yang membabitkan Perlembagaan.

“Kita hendak meneliti kesemua perkara itu yang mana pindaan perlu dilakukan kepada beberapa undang-undang berkaitan supaya tempoh menyandang jawatan PM (Perdana Menteri), MB (Menteri Besar) dan KM (Ketua Menteri) selama dua penggal sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (KSP RMK-11) hari ini.

Pada sesi pembentangan itu, Dr Mahathir menetapkan tempoh jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Berita Harian X