Isnin, 15 Oktober 2018 | 12:24pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Pejabat Anwar Ibrahim

PM, TPM gembira Anwar kembali ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gembira Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke Dewan Rakyat atas kejayaan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu lalu.

“Sudah tentu saya gembira. Beliau dari parti yang sama. Kita sudah jangka beliau akan menang. Kita juga tahu beliau akan kembali (ke Dewan Rakyat).

“Ada tujuh calon bertanding dan enam termasuk pembangkang sudah tentu berpecah, maka calon ketujuh akan menang. Anwar menang besar,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Sabtu lalu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK Parlimen Port Dickson selepas memperoleh majoriti 23,560 undi.

Anwar menewaskan enam pencabarnya iaitu calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, yang memperoleh 7,456 undi.

Calon lain, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi)

Anwar, 71, layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Ditanya mengenai lawatannya ke Kedah hari ini, Dr Mahathir berkata, ia adalah untuk menyampaikan anugerah persekutuan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

“Tidak ada masalah, semuanya baik,” katanya ketika ditanya sama ada lawatannya ke Kedah hari ini kerana isu lain.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut gembira dengan kepulangan suaminya ke Parlimen.

“Saya rasa sungguh gembira. Dulu beliau dinafikan hak bertanding dan kini kembali ke Parlimen semula. Beliau dapat bertanding selepas mendapat pengampunan diraja.

“Kena ingat, beliau tidak pernah mengaku tuduhan dikenakan terhadapnya. Apa yang berlaku adalah ketidakadilan kepada beliau,” katanya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menyifatkan gandingan Dr Mahathir dan Anwar akan memacu Malaysia menjadi lebih baik menerusi pengalaman yang ada pada kedua pemimpin terbabit.

“Saya percaya regu dan gandingan Dr Mahathir dan Anwar akan mengembalikan wibawa Malaysia, menjadi gagah dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

48 dibaca
Berita Harian X