Isnin, 15 Oktober 2018 | 11:39am
NASRUDIN Hassan

PAS gesa bentang kertas putih kewangan negara

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan kertas putih mengenai kedudukan sebenar kewangan kerajaan, sebelum pembentangan Bajet 2019 pada 2 November ini.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata ia penting bagi memperjelas kecelaruan status kewangan negara susulan kenyataan bercanggah antara beberapa pemimpin kerajaan.

Katanya, kenyataan terbaru daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang mendakwa nilai sebenar hutang negara lebih besar daripada RM1 trilion, adalah serius kerana berbeza dengan kenyataan Guan Eng di Dewan Rakyat.

Nasrudin berkata, percanggahan berhubung status kewangan negara bukan perkara remeh dan boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara.

“Jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai 2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang Kerajaan Persekutuan adalah RM 686.8 bilion pada 31 Disember 2017, selaras laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 disediakan Akauntan Negara.

“Jika nilai sebenar hutang Kerajaan Persekutuan tidak benar dengan merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, maka angka dilaporkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dan jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah palsu.

“Bagi menangani kecelaruan ini, Menteri Kewangan mesti mengemukakan kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan pemimpin negara dimanipulasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng pernah mendedahkan hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM885.9 bilion, merangkumi hutang rasmi Kerajaan Persekutuan RM686.8 bilion, serta Jaminan Kerajaan RM199.1 bilion.

Bagaimanapun, Utusan Online kelmarin melaporkan Mohamad atau Mat Sabu berkata, nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion, dan ia terpaksa disembunyikan supaya Malaysia tidak muflis seperti Greece.

Sementara itu, Nasrudin turut menggesa Guan Eng memperincikan perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional (BN) susulan dakwaanakaun hasil disatukan susut mendadak sebanyak 96 peratus daripada jumlah asal, iaitu RM 11.86 bilion pada akhir 2017.

“Penyusutan perbelanjaan mendadak perlu diperincikan supaya rakyat tahu perbelanjaan dilakukan dan bagaimana kerajaan (Pakatan Harapan) membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018,” katanya.

Berita Harian X